SELAMA ini, ramai menganggap Polycystic Ovary Syndrome (PCOS) sebagai penyakit yang hanya melibatkan sista pada ovari dan masalah kesuburan wanita.
Namun, pakar kesihatan kini mengakui tanggapan tersebut sebenarnya tidak tepat.
Menerusi kajian baharu yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet pada 12 Mei lalu, PCOS secara rasmi dinamakan semula sebagai Polyendocrine Metabolic Ovarian Syndrome (PMOS).
Penukaran nama itu dibuat selepas lebih sedekad perbincangan melibatkan pakar endokrinologi, penyelidik dan pesakit dari seluruh dunia.
Menurut ahli endokrinologi dan profesor kesihatan wanita di Monash University, Australia, Dr. Helena Teede, nama PCOS dianggap mengelirukan kerana ramai pesakit sebenarnya tidak mempunyai ketumbuhan cyst (sista) pada ovari mereka.
Sebaliknya, struktur yang dilihat pada ovari itu sebenarnya ialah folikel atau telur yang perkembangan normalnya terhenti akibat gangguan hormon dalam badan.
“Penyakit ini bukan sekadar masalah ovari. Ia melibatkan gangguan hormon dan metabolik yang memberi kesan kepada pelbagai sistem dalam tubuh,” katanya seperti dipetik dalam laporan Time.
Bukan sekadar masalah reproduktif
Kajian sejak beberapa dekad lalu mendapati individu dengan PMOS mempunyai risiko lebih tinggi mengalami diabetes jenis 2, penyakit jantung serta masalah metabolik lain.
Selain itu, keadaan tersebut juga boleh memberi kesan kepada kulit, berat badan dan kesihatan mental.
Pengerusi badan kebajikan PCOS di United Kingdom, Rachel Morman berkata, kekeliruan terhadap nama lama menyebabkan ramai pesakit sukar mendapatkan rawatan yang tepat.
Katanya, masih ramai wanita percaya mereka mempunyai ‘cyst’ pada ovari sedangkan itu bukan punca sebenar penyakit tersebut.
Diagnosis kini tidak semestinya perlukan imbasan ovari
Menurut garis panduan terkini, seseorang boleh didiagnosis dengan PMOS jika memenuhi dua daripada tiga kriteria berikut:
- Hormon androgen tinggi
- Kitaran haid tidak teratur
- Paras hormon Anti-Müllerian Hormone (AMH) tinggi atau terdapat banyak folikel kecil pada ovari
Malah, sekitar 60 peratus pesakit tidak lagi memerlukan pemeriksaan ultrasound ovari untuk diagnosis dibuat.
Diharap ubah cara rawatan dilakukan
Pakar berharap penukaran nama itu dapat mengubah cara PMOS dirawat pada masa akan datang.
Sebelum ini, rawatan lebih tertumpu kepada kesuburan dan haid, sedangkan ramai pesakit tidak menjalani pemeriksaan berkaitan metabolik dan risiko penyakit jantung.
Pakar endokrinologi pediatrik dari University of Colorado Anschutz, Dr. Melanie Cree berkata, ramai remaja dengan PMOS hanya diberi pil hormon tanpa pemeriksaan lanjut terhadap kesihatan metabolik mereka.
Menurut beliau, memahami PMOS sebagai gangguan metabolik juga boleh membuka ruang kepada penggunaan rawatan lebih meluas termasuk ubat seperti GLP-1.
Nama baharu dijangka digunakan sepenuhnya menjelang 2028
Nama PMOS dijangka digunakan secara meluas dalam komuniti perubatan dan saintifik dalam tempoh beberapa tahun akan datang sebelum menggantikan PCOS sepenuhnya dalam International Classification of Diseases (ICD) pada tahun 2028.
Pakar turut berharap penjenamaan semula ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat serta membuka lebih banyak peluang penyelidikan berkaitan kesihatan wanita. – RELEVAN


