BANGUNAN pencakar langit melambangkan kemajuan teknologi, seni bina serta simbol kekuatan ekonomi sesebuah negara.
Semua menara gergasi seantero dunia ini mencipta rekodnya tersendiri dengan reka bentuk unik serta ketinggian luar biasa.
Lebih membanggakan, Malaysia kini berada di tangga kedua seluruh dunia menerusi Menara Merdeka 118. Berikut ialah senarai menara tertinggi di dunia mengikut kedudukan.
-
Burj Khalifa

Lokasi: Dubai, Emiriah Arab Bersatu
Ketinggian: 828 meter / 2,717 kaki
Bilangan tingkat: 163
Tahun siap: 2010
Burj Khalifa kekal sebagai bangunan tertinggi di dunia sejak tahun 2010. Menara ikonik ini terkenal dengan reka bentuknya yang ‘futuristik’ dengan pemandangan panorama kota Dubai dari sudut pemerhatian tertinggi di dunia.
-
Merdeka 118

Lokasi: Kuala Lumpur, Malaysia
Ketinggian: 679 meter / 2,227 kaki
Bilangan tingkat: 118
Tahun siap: 2023
Merdeka 118 merupakan menara kedua tertinggi di dunia dan paling tinggi di Asia Tenggara. Rekaan menara ini diinspirasikan daripada bentuk tangan yang diangkat ketika laungan kemerdekaan oleh Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman pada tahun 1957.
-
Shanghai Tower

Lokasi: Shanghai, China
Ketinggian: 632 meter / 2,073 kaki
Bilangan tingkat: 128
Tahun siap: 2015
Shanghai Tower terkenal dengan reka bentuk berpintal yang membantu mengurangkan tekanan angin. Menara ini juga menggunakan teknologi mesra alam bagi menjimatkan penggunaan tenaga.
-
Makkah Royal Clock Tower

Lokasi: Makkah, Arab Saudi
Ketinggian: 601 meter / 1,972 kaki
Bilangan tingkat: 120
Tahun siap: 2012
Menara jam ini terletak berhampiran Masjidil Haram dan menjadi mercu tanda utama kota suci Makkah. Jam gergasinya antara yang terbesar di dunia dan boleh dilihat dari jarak yang jauh.
-
Ping An Finance Center

Lokasi: Shenzhen, China
Ketinggian: 599 meter / 1,965 kaki
Bilangan tingkat: 115
Tahun siap: 2017
Bangunan ini menjadi simbol pertumbuhan pesat bandar Shenzhen sebagai pusat kewangan dan teknologi di Tanah Besar China. Struktur kaca moden menjadikannya antara menara paling elegan di dunia.
-
Lotte World Tower

Lokasi: Seoul, Korea Selatan
Ketinggian: 555 meter / 1,819 kaki
Bilangan tingkat: 123
Tahun siap: 2017
Lotte World Tower menempatkan pusat beli-belah, hotel mewah dan menawarkan pemandangan indah bandar Seoul dari puncak menaranya. Reka bentuk bangunan ini diinspirasikan daripada seni seramik tradisional Korea.
-
One World Trade Center
Lokasi: New York City, Amerika Syarikat
Ketinggian: 541 meter / 1,776 kaki
Bilangan tingkat: 94
Tahun siap: 2014
Menara ini dibina semula di tapak tragedi serangan 11 September 2001 dan menjadi simbol ketabahan rakyat Amerika Syarikat. Angka 1,776 kaki melambangkan tahun kemerdekaan negara itu.
-
Guangzhou CTF Finance Centre

Lokasi: Guangzhou, China
Ketinggian: 530 meter / 1,739 kaki
Bilangan tingkat: 111
Tahun siap: 2016
Menara ini terkenal dengan lif berkelajuan tinggi yang mampu bergerak lebih 70 kilometer sejam. Ia juga menempatkan hotel mewah dan ruang pejabat premium.
-
Tianjin CTF Finance Centre

Lokasi: Tianjin, China
Ketinggian: 530 meter / 1,739 kaki
Bilangan tingkat: 97
Tahun siap: 2019
Bangunan ini direka dengan bentuk aerodinamik untuk mengurangkan tekanan angin dan meningkatkan kecekapan tenaga. Ia menjadi antara mercu tanda moden utama di Tianjin.
-
CITIC Tower

Lokasi: Beijing, China
Ketinggian: 528 meter / 1,731 kaki
Bilangan tingkat: 109
Tahun siap: 2018
CITIC Tower atau juga dikenali sebagai ‘China Zun’ mendapat inspirasi daripada bekas minuman tradisional China. Bentuknya yang unik menjadikan ia mudah diingati. – RELEVAN


