KECEWA dengan gaji yang ditawarkan oleh syarikat? Sebenarnya, ramai yang mengalami masalah ini terutamanya apabila gaji yang ditawarkan jauh lebih rendah berbanding jangkaan gaji atau gaji bagi pekerjaan yang lepas.
Walaupun pihak perekrut telah memaklumkan bahawa perundingan yang ditawarkan ketika temu duga tidak diterima, anda masih boleh mencuba.
Bagi menjawab soalan sama ada dibolehkan atau tidak untuk melakukan perundingan selepas surat tawaran diterima, ada kemungkinan ia dibolehkan tetapi mungkin sedikit mencabar. Selain itu, tidak semua syarikat bersikap terbuka untuk melakukan rundingan selepas surat tawaran dikeluarkan.
Sebaik sahaja anda menerima tawaran itu, kemungkinan untuk perundingan itu berjaya mungkin tidak tinggi dan syarikat juga mungkin kurang bersedia untuk membuat perubahan pada tawaran itu.
Dalam proses berunding, penting untuk anda menumpukan kepada kemahiran profesional, pencapaian dan sebagainya yang berkaitan dengan jawatan.
Menurut Jurulatih Kerjaya Bertauliah, Jimmy Mak Chii Ping atau lebih dikenali sebagai Jimmy C.P Mak, berikut adalah beberapa langkah yang boleh anda ambil untuk berunding untuk mendapatkan gaji yang lebih tinggi.
- Zahirkan rasa berterima kasih dan semangat untuk mula bekerja
Mulakan rundingan dengan menyatakan penghargaan anda untuk tawaran kerja dan keterujaan anda untuk peluang itu.
Sebagai contoh, “Saya ingin mengucapkan terima kasih atas tawaran bekerja di (nama syarikat, jawatan). Saya berasa sangat teruja untuk mula bekerja dan mempelajari lebih lanjut tentang syarikat serta mencari cara untuk mengguna pakai kemahiran yang saya ada”.
- Tampilkan bukti
Elakkan bercakap kosong sahaja. Yakinkan pihak majikan dengan menyediakan bukti untuk menyokong permintaan anda untuk mendapatkan gaji yang lebih tinggi.
Sebagai contoh, tampilkan pengalaman, kelayakan dan kejayaan bagi pekerjaan lalu yang berkaitan dengan pekerjaan terkini.
Serlahkan pencapaian anda dalam peranan terdahulu dan bagaimana ia boleh menyumbang kepada kejayaan syarikat.
- Nyatakan jumlah yang spesifik
Lakukan penyelidikan bagi menentukan julat gaji untuk jawatan dan tahap pengalaman yang bersesuaian dengan anda. Penyelidikan perlu dilakukan agar anda tidak menyatakan jangkaan gaji yang terlalu tinggi. Pastikan ia bersesuaian dengan kemahiran dan kelayakan anda.
Atur pertuturan agar kedengaran yakin dan tegas dalam permintaan anda. Tetapi, kekalkan profesionalisme dan berbudi bahasa.
- Pertimbangkan pampasan lain
Jika majikan tidak dapat memenuhi permintaan gaji anda, pertimbangkan bentuk pampasan lain seperti bonus, opsyen saham atau elaun tambahan kenderaan, telefon dan sebagainya.
Ada kemungkinan mereka tidak akan meningkatkan gaji tetapi akan memberikan pampasan lain. Fikir-fikirkan apa yang bersesuaian dengan anda. Sama ada mahu menerima tawaran pampasan lain atau tidak ada apa-apa kelebihan langsung.
- Buat susulan secara bertulis
Selepas rundingan, lakukan susulan secara bertulis untuk mengesahkan gaji yang telah dipersetujui dan sebarang pampasan lain. Ini akan membantu mengelakkan sebarang kekeliruan atau salah faham pada masa hadapan.
Susulan yang dilakukan secara bertulis juga memudahkan anda untuk membuat rujukan semula sekiranya timbul apa-apa permasalahan lain pada masa hadapan.
Perkara utama di sini adalah untuk memastikan bahawa tawaran bertulis sudah disediakan sebelum berunding.
Anda perlu memastikan terlebih dahulu bahawa majikan memang mengambil anda bekerja, seperti yang dibuktikan dalam surat tawaran. Sekiranya berita anda diterima bekerja hanya disampaikan secara lisan, rundingan gaji harus ditangguhkan terlebih dahulu. – RELEVAN