SUDAH menjadi tanggungjawab sebagai pemilik hartanah untuk memahami jenis cukai yang dikenakan kerana ia melibatkan kos pemilikan dan urusan jual beli hartanah.
Menurut Property Guru, terdapat tiga cukai utama yang perlu diberi perhatian oleh pemilik hartanah di Malaysia. Setiap satu mempunyai fungsi dan tujuan yang berbeza.
- Cukai tanah
Cukai tanah ialah bayaran yang dikenakan kepada pemilik hartanah yang berada di atas tanah, sama ada hartanah pegangan bebas (freehold) atau pajakan (leasehold).
Cukai ini ditetapkan oleh kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG). Bagi hartanah berstatus strata seperti rumah teres atau kondominium dilindungi sekuriti, bayaran yang dikenakan dikenali sebagai cukai petak.
Kadar cukai tanah berbeza mengikut negeri, lokasi, jenis hartanah dan keluasan tanah. Oleh sebab itu, jumlah yang perlu dibayar oleh setiap pemilik tidak semestinya sama.
- Cukai taksiran
Cukai taksiran atau lebih dikenali sebagai cukai pintu merupakan cukai yang dikutip oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Hasil kutipan ini digunakan untuk membiayai pelbagai kemudahan dan perkhidmatan awam di kawasan setempat seperti:
- Lampu jalan
- Pembersihan taman awam
- Kutipan sampah
- Penyelenggaraan kemudahan awam
Rata-rata pemilik hartanah, sama ada kediaman atau komersial perlu membayar cukai ini.
Namun, terdapat beberapa pengecualian yang ditawarkan dalam keadaan tertentu seperti hartanah yang tidak didiami serta perumahan kos rendah dan sederhana di sesetengah negeri.
Jumlah cukai taksiran biasanya ditentukan berdasarkan anggaran nilai sewa tahunan sesebuah hartanah dan kadarnya turut berbeza mengikut negeri.
Pembayaran kebiasaannya dibuat dua kali setahun, iaitu sebelum 28 Februari dan 31 Ogos.
- Cukai keuntungan harta tanah (CKHT)
Berbeza dengan dua cukai sebelum ini, CKHT hanya dikenakan apabila pemilik menjual atau melupuskan hartanah dan memperoleh keuntungan daripada transaksi tersebut.
CKHT melibatkan pelbagai jenis aset seperti:
- Rumah kediaman
- Bangunan komersial
- Tanah kosong
- Ladang
- Saham dalam syarikat hartanah
Cukai ini ditadbir oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di bawah Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976. Ia diperkenalkan bagi membantu mengawal aktiviti spekulasi dalam pasaran hartanah.
CKHT dikenakan ke atas pihak yang melupuskan aset dalam tahun taksiran transaksi berlaku. Ia merangkumi individu, syarikat, perkongsian, pemegang amanah dan entiti lain yang tertakluk kepada cukai.
Ada kos yang boleh ditolak
Ramai tidak menyedari terdapat beberapa perbelanjaan yang boleh diambil kira bagi mengurangkan jumlah keuntungan yang dikenakan CKHT.
Antara kos yang lazimnya boleh dituntut termasuk:
- Kos pengubahsuaian hartanah
- Yuran guaman
- Yuran jurunilai
- Yuran perunding hartanah
- Kos pengiklanan untuk menjual hartanah
Selain itu, kerajaan turut menyediakan pengecualian individu dengan nilai sebanyak 10 peratus daripada keuntungan atau RM10,000, mengikut jumlah yang lebih tinggi.
Jangan hanya fokus pada harga rumah
Sebelum membeli aset hartanah, bakal pembeli tidak seharusnya rambang mata melihat harga jualan atau jumlah ansuran bulanan tanpa melihat komitmen tersembunyi.
Memahami cukai-cukai yang berkaitan dapat membantu anda membuat perancangan kewangan serta mengelakkan beban kos yang tidak dijangka pada masa hadapan. – RELEVAN


