TIADA siapa yang tahu bila ajal akan menjemput. Namun, setiap individu boleh merancang pengurusan harta yang ditinggalkan melalui penyediaan wasiat.
Wasiat ialah dokumen untuk menyatakan hasrat berkaitan harta. Ia perlu mengandungi maklumat penting seperti hutang atau perkara lain yang perlu waris cakna selepas kematian.
Dengan adanya wasiat, urusan pengagihan aset dapat dilakukan dengan lebih teratur selain mengurangkan risiko pertikaian dan perebutan harta selepas pemergian seseorang.
Sekiranya seseorang meninggal dunia tanpa wasiat, pembahagian harta akan dilakukan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Bagi orang Islam, pembahagian dibuat berdasarkan Hukum Faraid. Bagi bukan Islam pula, ia tertakluk kepada Akta Pembahagian 1958.
Apa yang terjadi jika meninggal dunia tanpa wasiat?
Bagi orang Islam yang meninggal dunia tanpa membuat wasiat, semua harta pusaka akan diagihkan mengikut Hukum Faraid.
Faraid merupakan sistem pembahagian harta pusaka yang ditetapkan oleh syarak berdasarkan al-Quran dan hadis kepada waris yang berhak.
Harta pusaka yang terlibat merangkumi harta tidak alih (tidak boleh dialihkan, diubah dari satu tempat ke tempat yang lain) seperti tanah dan rumah. Wang simpanan, saham, KWSP, Tabung Haji, insurans, koperasi, kenderaan dan barang kemas termasuk kategori harta alih.
Bagaimanapun, proses pembahagian harta secara Faraid tidak berlaku secara automatik sebaik sahaja seseorang meninggal dunia.
Menurut Property Guru, berikut ialah prosedur yang perlu dilalui oleh waris sebelum harta diagihkan.
-
Harta pusaka akan dibekukan
Sebaik sahaja berlaku kematian, semua harta pusaka si mati akan dibekukan dan tidak boleh dituntut atau digunakan oleh mana-mana pihak.
Harta tersebut hanya boleh diagihkan selepas proses pentadbiran dan pembahagian pusaka selesai mengikut prosedur ditetapkan.
-
Waris perlu memohon Sijil Faraid
Antara dokumen yang perlu disediakan ialah:
- Borang permohonan yang lengkap
- Salinan sijil kematian atau surat akuan kematian
- Salinan kad pengenalan waris, sijil kelahiran atau surat akuan berkaitan
- Salinan geran harta, buku akaun atau penyata berkaitan aset
- Sijil penilaian hartanah (jika ada)
- Bayaran proses mengikut nilai harta pusaka yang ditetapkan
-
Ikut proses permohonan dengan teliti
- Mengemukakan permohonan
- Penerimaan dan semakan permohonan
- Pengesahan serta tandatangan jika dokumen lengkap
- Siasatan terhadap waris yang terlibat
- Pengiraan bahagian waris selepas siasatan selesai
- Pengeluaran sijil dalam tempoh yang ditetapkan selepas siasatan selesai
- Pemberitahuan kepada waris setelah proses siasatan tamat
-
Mendapatkan persetujuan waris
Dalam sistem Faraid, waris yang berhak perlu bersetuju untuk melantik seorang pentadbir bagi menguruskan harta pusaka si mati. Pelantikan tersebut hendaklah dibuat secara bertulis.
Menurut al-Quran, waris ialah individu yang layak menerima bahagian tertentu daripada harta pusaka sebagaimana yang ditetapkan oleh hukum syarak.
Pentadbir pula merupakan individu atau pihak yang dilantik untuk menguruskan harta pusaka si mati, sama ada daripada kalangan waris, bukan waris, institusi pengurusan pusaka atau peguam. – RELEVAN


