DALAM dunia saham, pelabur runcit boleh dikategorikan kepada dua iaitu pedagang saham (trader) dan pelabur yang mana masing-masing memainkan peranan dan menggunakan kaedah atau konsep berbeza.
Secara ringkasnya, trader ialah mereka yang menjalankan kegiatan beli dan jual saham dalam masa singkat iaitu bawah setahun. Pedagang saham ini juga akan menggunakan analisa teknikal yang berpandukan kepada carta.
Pelabur pula membuat pelaburan dalam jangka yang agak panjang iaitu sekitar lima atau 10 tahun dengan mencari syarikat-syarikat berpotensi besar dan kukuh.
Selain itu, pelabur akan melihat kepada analisis fundamental seperti penyata pendapatan, tahap kewangan dan kunci kira-kira. Terdapat pelbagai jenis pelabur iaitu pelabur institusi, runcit dan luar negara.
Pada kali ini Relevan bersama Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali akan kongsikan sembilan tip penting buat mereka yang ingin berjinak-jinak dalam pasaran saham sebagai trader atau pelabur.
1. Kuasai ilmu
Selain ilmu tentang strategi asas dagangan, pelabur dan pedagang perlu sentiasa mengambil cakna dan mengikuti berita pasaran saham terkini dan peristiwa-peristiwa yang memberi kesan kepada saham seperti Langkah Sheraton, cadangan moratorium oleh Bank Negara Malaysia (BNM) selama enam bulan dan pakej rangsangan ekonomi untuk menangani masalah ekonomi disebabkan oleh penularan Covid-19 sebagai prospek ekonomi pada masa hadapan dan sebagainya.
Pengetahuan am tentang ekonomi global, ekonomi Malaysia, industri perlu difahami sebelum memasuki pasaran saham.
Sebagai contohnya, jika hendak melabur di dalam syarikat pengeluar minyak, pelabur perlu mengetahui tentang faktor-faktor fundamental yang mempengaruhi harga minyak, pergerakan harga minyak dan juga asas penawaran serta permintaan minyak.
Para pedagang perlu rajin untuk membuat kajian dengan membuat senarai wish list (WL) saham yang hendak dibeli pada keesokan hari dan memastikan menjalankan kajian tentang syarikat yang dipilih.
Gambar di bawah menunjukkan senarai syarikat yang berkaitan emas. Kaunter-kaunter ini boleh disenaraikan di dalam WL kaunter emas.
2. Modal saham yang telah diasingkan
Kita perlu menilai berapa banyak modal yang sanggup untuk diambil risiko pada setiap dagangan. Pedagang yang berjaya hanya mengambil risiko kurang daripada satu peratus atau dua peratus daripada modal.
Sebagai contoh, jika modal adalah RM50,000 dan kita bersedia untuk mengambil risiko sebanyak satu peratus daripada modal pada setiap dagangan, kerugian maksimum setiap dagangan adalah RM500 (0.01 x RM50,000).
Modal yang digunakan untuk dagangan mestilah wang yang tidak mempunyai komitmen. Ia adalah wang lebihan dan bukannya wang yang perlu digunakan untuk membayar komitmen bulanan dan lain-lain.
Dalam pasaran saham, tiada istilah sentiasa untung. Persiapkan minda untuk mengalami sedikit kerugian.
3. Masa
Pasaran saham memerlukan masa anda. Ya, kita semua mempunyai masa yang terhad iaitu 24 jam sehari. Walau bagaimanapun, kita wajib meluangkan masa seperti satu jam, dua jam atau tiga hingga empat jam untuk mempelajari tentang ilmu saham dan memantau pasaran yang anda akan beli atau sudah beli.
Ada ketikanya, kita dapat menghidu peluang untuk membuat keuntungan daripada berita-berita dunia yang memerlukan kita bertindak dengan pantas untuk mengambil peluang atau meminimumkan kerugian dengan menjual saham yang sedia ada apabila sesuatu berita yang tidak baik boleh menjejaskan sentimen pasaran.
4. Mulakan dengan modal yang kecil
Sebagai newbies, adalah lebih baik untuk memberi tumpuan kepada maksimum satu hingga dua saham dalam satu masa. Mulakan dengan mengesan dan mencari peluang hanya beberapa saham sahaja berbanding anda membeli 10 hingga 20 saham.
Ia lebih mudah untuk dipantau berbanding anda mempunyai 10 saham. Apabila, kita telah menjadi semakin mahir, barulah boleh meningkatkan jumlah dagangan saham.
Modal boleh ditambah selepas kita berjaya meningkatkan modal sedia ada. Sebagai contohnya, modal asal RM50,000 dan kita dapat jana keuntungan sehingga modal menjadi RM60,000.
Para newbies dinasihatkan untuk tidak terus meletakkan modal yang terlalu besar semasa memulakan dagangan saham. Ini adalah kerana kita belum kenal siapa diri kita dan adakah dapat menguasai emosi atau emosi yang mengawal diri kita.
5. Elakkan stok penny dan waran yang hampir tamat tempoh
Harga saham penny iaitu yang berharga sangat murah seperti RM0.20 ke bawah adalah sangat berisiko.
Ia kerana saham-saham penny ini sering menjadi mainan sindiket yang akan menaikkan harga saham dan kemudian membuat penjualan secara besar-besaran sehingga kita tidak sempat berbuat apa-apa untuk mengelak kerugian besar.
Perlu diingatkan, jika membeli 100,000 unit saham penny yang berharga 10 sen, jika ia jatuh satu sen, kita telah kerugian RM1,000.
Tetapi, kalau naik 1 sen, kita memang akan senyum besar. Persoalannya, adakah kita bersedia nak tanggung kerugian 20 peratus daripada modal? Walau bagaimanapun, ada pedagang yang gemar membeli saham penny ini terutamanya apabila ia membuat trend menaik.
Jika anda seorang yang sibuk dan tidak dapat memantau pergerakan saham pada jangka waktu yang kerap, saham penny perlu dielakkan malahan saham yang mempunyai kemeruapan yang tinggi (high volatility) juga perlu dielakkan.
Pembelian waran juga amat berisiko kerana ia mempunyai tarikh luput. Jika anda membeli saham waran, pulangan yang mungkin dijana tinggi, tetapi risikonya juga tinggi kerana anda menggunakan leverage.
6. Masa dagangan terbaik
Kebanyakan pesanan (order) yang dibuat oleh para pelabur dan pedagang adalah pada waktu pagi iaitu sebaik sahaja pasaran dibuka.
Ia menyumbang kepada turun dan naik harga saham tersebut. Seorang pedagang yang berpengalaman mungkin boleh mengenali volume pada minit terawal dan membuat penjualan atau pembelian untuk menjana keuntungan. Seringkali masa ini adalah masa yang sesuai untuk menjual.
Tetapi bagi newbies, mungkin lebih baik untuk membaca pasaran tanpa membuat apa-apa pembelian untuk tempoh 15 hingga 20 minit pertama. Apabila keadaan sudah tenang, baharulah boleh membuat pembelian atau penjualan.
Sebelum pasaran berehat (Pasaran Bursa berehat dari jam 12.30 malam sehingga 2.30 petang setiap hari bekerja), pasaran selalunya tidak menentu disebabkan kemungkinan pedagang ingin mengambil keuntungan atau pedagang kontra perlu menjual saham yang dibeli sebelum pergerakan harga mengikut trend semula sehingga waktu penutup.
Sehubungan itu, newbies tidak digalakkan untuk berdagang sebelum waktu rehat melainkan setelah harga closing sudah ada iaitu pada jam 4.50 petang. Selalunya pembelian pada waktu closing ini menggunakan strategi Buy Today Sell Tomorrow (BTST).
7. Potongan kerugian
Pelan dagangan perlu disediakan sebelum membeli saham untuk penentuan harga beli, harga jual dan harga potong rugi. Jika anda telah membuat pembelian, anda boleh siap-siap meletakkan potong rugi dalam platform broker dengan menghantar conditional sell order iaitu jika harga telah jatuh sehingga harga potong rugi, sell order akan dihantar kepada broker.
Jika harga tidak jatuh sehingga harga potong rugi, pesanan potong rugi tidak akan dihantar. Anda perlu bertanya dengan broker sama ada platform mereka boleh memuat pesanan untuk potong rugi. Bagi platform RHB, anda boleh menggunakan conditional sell order atau stop limit.
8. Realistik tentang keuntungan
Anak saya yang berumur 14 tahun mengidam untuk membeli tiga pasang kasut berjumlah RM1,500.
Saya kurang pasti kasut berjenama apa. Dia memberitahu saya yang dia mahu melabur saham dan mendapatkan keuntungan seperti yang inginkan.
Saya bertanya berapa modal yang hendak dilaburkan, dia menjawab RM50. Lalu saya menjawab boleh, tetapi ia akan memakan masa. Bukan akan dapat dalam masa sehari dua.
Dia agak keliru kerana pada pandangannya saham boleh mendatangkan keuntungan seperti yang dijangkanya.
Saya menjawab, kalau modal RM10,000 mungkin boleh dapat RM1,500 iaitu 15 peratus margin keuntungan dengan syarat dia kena mempelajari ilmu saham dahulu dan memahami yang saham ada untung dan rugi.
Kita selalunya hanya memikirkan keuntungan tetapi lupa untuk mengira tentang kerugian.
9. Santai dan tabah
Ada kalanya, pasaran saham menguji tahap emosi dan mental anda terutamanya apabila semua dagangan atau portfolio dagangan anda merah disebabkan oleh faktor-faktor pasaran yang tidak dapat dielak.
Sebagai contohnya, apabila Covid-19 melanda, hampir semua kaunter Bursa rugi. Semasa Putin mengumumkan penemuan vaksin Covid-19, hampir semua kaunter kesihatan mengalami penjualan panik hingga menyebabkan rantaian kepada kaunter-kaunter lain dalam Bursa.
Sebagai pedagang yang kuat mentalnya, anda perlu belajar untuk menjaga perasaan tamak, harapan dan takut.
Setiap keputusan hendaklah dikawal oleh logik dan bukan emosi. Secara mudahnya anda perlu menganggap saham ini seperti suatu persoalan matematik yang memerlukan jawapan yang objektif. Pelan dagang dan saiz posisi yang betul dapat menyelamatkan anda daripada tekanan emosi.- RELEVAN