PERSEKITARAN kerja yang sihat bukan sekadar tentang pejabat cantik, pantri dipenuhi dengan makanan atau gaji lumayan. Suasana kerja banyak mempengaruhi emosi, motivasi dan prestasi setiap pekerja.
Ramai orang sanggup bertahan di tempat kerja demi gaji atau jawatan. Persekitaran kerja yang negatif boleh memberi kesan kepada kesihatan mental.
Dalam interaksi harian di tempat kerja sepatutnya menggalakkan pencapaian dan bukan menyebabkan masalah atau ketegangan.
Pakar psikologi sosial dari New York University, Tessa West menghuraikan beberapa jenis individu negatif yang sering ditemui di tempat kerja yang boleh memberikan kesan kepada persekitaran kerja yang positif.
Berikut adalah unsur-unsur negatif yang disenaraikan West.
Kaki bodek
Golongan ini sanggup melakukan apa sahaja demi perhatian pihak atasan. Mereka kelihatan rajin dan proaktif di depan ketua tetapi dalam diam gemar menjatuhkan rakan sekerja lain.
Mereka suka menonjolkan diri ketika mesyuarat, cepat menawarkan bantuan apabila diminta ketua. Pada masa sama, mereka tidak teragak-agak memperlekeh rakan sekerja untuk kelihatan lebih baik.
Pemanipulasi
Golongan ini bijak memutar belit keadaan sehingga menjejaskan harga diri orang lain.
Kenyataan kononnya orang lain tidak menyukai kita atau mendakwa kita tidak layak berada di sesuatu posisi dilakukan untuk melemahkan keyakinan orang lain.
Pencuri idea
Jenis ini biasanya kelihatan mesra dan mudah didekati. Namun, di sebalik sikap ramah itu, mereka gemar mengambil kesempatan terhadap hasil kerja orang lain.
Ketika berbual santai atau sesi perbincangan tidak formal, mereka akan ‘menyimpan’ idea yang dilontarkan orang lain. Tidak lama kemudian, idea sama dibentangkan semula seolah-olah datang daripada mereka sendiri.
‘Otai’ yang rasa diri paling hebat
Golongan ini biasanya pekerja lama yang sudah terlalu selesa dengan kedudukan di pejabat. Mereka suka menunjukkan pengaruh, gemar bercakap tentang pengalaman lampau dan sering merasakan cara mereka sahaja yang betul.
Dalam mesyuarat, mereka antara individu paling awal bersuara. Kadangkala pekerja muda atau staf baharu menjadi sasaran kerana dianggap belum cukup pengalaman.
Dialog seperti “aku dulu pernah buat…” hampir menjadi ayat wajib setiap kali perbincangan berlaku.
Bos ‘micro-manage’
Ada pengurus yang terlalu mahu mengawal setiap perkara sehingga pekerja hilang ruang untuk bekerja dengan selesa.
Mereka sentiasa mahu tahu perkembangan kerja secara terperinci, terlalu kerap menyemak tugasan dan kadangkala menetapkan tempoh siap kerja yang tidak realistik.
Walaupun ada yang berniat baik, sikap terlalu mengawal ini boleh menyebabkan pekerja cepat tertekan, hilang motivasi dan sukar berkembang.
Suka menghilang
Individu ini sering mengabaikan tugas dalam tempoh yang lama tetapi apabila keadaan mula menjadi kelam-kabut, semua kerja diserahkan kepada orang lain.
Mereka hanya muncul apabila keadaan mendesak atau apabila kedudukan mereka mula terancam. Akhirnya, orang lain pula terpaksa menanggung tekanan menyelesaikan masalah pada saat akhir.
Penunggang kerja
Di sekolah, universiti dan tempat kerja, golongan ini memang sentiasa wujud. Mereka suka menumpang hasil usaha orang lain tanpa menyumbang banyak kerja.
Ketika mesyuarat, merekalah paling bersemangat memberi idea dan cadangan. Namun apabila tiba masa untuk melaksanakan tugasan, mereka mula menghilang atau menyerahkan kerja kepada orang lain.
Akhirnya, individu lain yang bekerja keras tetapi mereka tetap mahu menikmati pujian dan penghargaan yang sama.
Tidak semua tempat kerja sempurna tetapi persekitaran yang terlalu negatif tidak sepatutnya dianggap normal. Jika dibiarkan berterusan, ia boleh menjejaskan emosi, keyakinan diri dan semangat pekerja.
Kadangkala, menjaga kesihatan mental juga bermaksud berani menetapkan batas dan menjauhkan diri daripada persekitaran yang memudaratkan. – RELEVAN


