DAGING ibadah korban sememangnya juadah yang dinanti-nantikan setiap kali Hari Raya Aidiladha.
Selain enak dimasak dalam pelbagai hidangan, daging merah kaya dengan khasiat yang memberi manfaat kepada tubuh badan jika diambil secara sederhana dan dikendalikan dengan cara yang betul.
Daging korban kaya dengan khasiat
Daging merah mengandungi pelbagai zat nutrisi penting untuk kesihatan tubuh. Antaranya ialah zink yang membantu menguatkan sistem imun badan bagi melindungi diri daripada jangkitan kuman.
Selain itu, daging merah kaya dengan vitamin B kompleks yang berfungsi membantu proses pemulihan sel-sel tubuh serta menyokong kesihatan otak.
Kandungan proteinnya yang tinggi pula penting untuk pembentukan otot yang kuat dan membantu mempercepatkan proses penyembuhan luka.
Pilih kaedah masakan lebih sihat dan bersih
Bagaimanapun, cara penyediaan daging juga memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan.
Pengambilan daging agihan korban disarankan dimasak secara sup, rebus atau bakar berbanding masakan berlemak dan bergoreng bagi mengurangkan kandungan minyak serta lemak berlebihan.
Dalam masa sama, aspek kebersihan dan pengendalian daging ibadah korban tidak boleh diabaikan. Darah yang masih tertinggal pada daging perlu dibersihkan dengan sempurna kerana darah dianggap najis dalam Islam.
Selain itu, daging yang dimakan terlalu awal sejurus selepas proses korban dikhuatiri boleh meningkatkan risiko pencemaran bakteria dan menjejaskan kesihatan.
Justeru, beberapa langkah keselamatan disarankan sebelum daging sembelihan korban dimasak dan dimakan.
Langkah selamat makan daging korban
- Cuci daging sehingga bersih bagi menghilangkan sisa darah dan kekotoran
- Simpan daging di dalam bahagian beku peti sejuk sekurang-kurangnya tujuh jam
- Keluarkan dan cuci semula sebelum dimasak
- Daging kini sedia untuk dimasak mengikut kaedah yang sesuai dan lebih sihat
Panduan ini adalah berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan bersama pihak veterinar bagi memastikan pengambilan daging sembelihan korban lebih selamat dan bersih. – RELEVAN


