MALAYSIA mempunyai pelbagai pusat beli-belah mega yang dibina dengan keluasan luar biasa. Secara tidak langsung, ia mencerminkan perkembangan pesat industri runcit dan pembangunan komersial negara.
Menariknya, salah satu daripadanya turut diiktiraf sebagai pusat beli-belah terbesar di Asia Tenggara. Berikut merupakan 10 pusat beli-belah terbesar di Malaysia berdasarkan keluasan keseluruhan kompleks.
-
IOI City Mall

Keluasan: 8.4 juta kaki persegi (Fasa satu dan dua)
Tarikh operasi: 20 November 2014
Pemilik: IOI Properties Group Berhad
Diiktiraf sebagai antara pusat beli-belah terbesar di Asia Tenggara, IOI City Mall terkenal dengan pelbagai tarikan keluarga termasuk gelanggang ais, taman tema dalaman serta lebih 700 lot perniagaan.
-
Mid Valley Megamall

Keluasan: 6.1 juta kaki persegi
Tarikh operasi: 20 November 1999
Pemilik: IGB Berhad
Menjadi antara pusat beli-belah paling ikonik di ibu negara, Mid Valley terkenal kerana menggabungkan pusat beli-belah, hotel dan ruang pejabat dalam satu kawasan luas.
-
1 Utama Shopping Centre

Keluasan: 5.6 juta kaki persegi
Tarikh operasi: 1995
Pemilik: See Hoy Chan Holdings Group
1 Utama pernah tersenarai antara pusat beli-belah terbesar dunia dan mempunyai pelbagai tarikan unik termasuk taman hujan tropika dalaman serta pusat hiburan keluarga.
-
Pavilion Bukit Jalil

Keluasan: 3.6 juta kaki persegi
Tarikh operasi: 3 Disember 2021
Pemilik: Pavilion Real Estate Investment Trust
Antara pusat beli-belah moden terbesar di negara ini, Pavilion Bukit Jalil menampilkan konsep gaya hidup kontemporari dengan gabungan jenama tempatan dan antarabangsa.
-
Berjaya Times Square

Keluasan: 3.5 juta kaki persegi
Tarikh operasi: 29 September 2003
Pemilik: Berjaya Corporation Berhad
Kompleks ini terkenal dengan taman tema dalaman terbesar di Malaysia selain menempatkan hotel, pangsapuri dan pusat beli-belah dalam satu bangunan.
-
Setia City Mall

Keluasan: 3.4 juta kaki persegi
Tarikh operasi: 17 Mei 2012
Pemilik: Greenhill Resources Sdn Bhd
Setia City Mall menjadi tumpuan penduduk di kawasan Shah Alam dan Setia Alam, selain terkenal dengan konsep mesra keluarga serta ruang terbuka yang luas.
-
Pavilion Kuala Lumpur

Keluasan: 2.7 juta kaki persegi
Tarikh operasi: 20 September 2007
Pemilik: Pavilion Real Estate Investment Trust
Terletak di tengah lokasi tersibuk ala ‘Shibuya Crossing’, pusat beli-belah di Bukit Bintang ini sinonim dengan lubuk jenama mewah, tarikan pelancong dan sambutan dekorasi perayaan yang meriah.
-
Sunway Pyramid

Keluasan: 2.5 juta kaki persegi
Tarikh operasi: 24 Julai 1997
Pemilik: Sunway Integrated Properties Sdn Bhd
Terkenal kerana reka bentuk inspirasi dari Mesir Purba dengan piramid dan patung sphinx gergasi, Sunway Pyramid kekal sebagai antara pusat beli-belah paling popular di Malaysia.
-
Paradigm Mall

Keluasan: 2.3 juta kaki persegi
Tarikh operasi: 24 Mei 2012
Pemilik: WCT Holdings Berhad
Paradigm Mall terkenal dengan gelanggang ais dalaman, pelbagai pilihan hiburan serta restoran yang menjadi tumpuan warga Lembah Klang.
-
The Exchange TRX

Keluasan: 2 juta kaki persegi
Tarikh operasi: 29 November 2023
Pemilik: Lendlease dan TRX City Sdn Bhd
Walaupun baru dibuka, The Exchange TRX pantas menjadi mercu tanda baharu Kuala Lumpur dengan konsep pusat gaya hidup eksklusif dan taman bandar moden di tengah ibu kota. – RELEVAN


