DUNIA pekerjaan hari ini tidak seindah yang disangka. Oleh sebab itu, ramai graduan masih terperangkap dengan pelbagai tanggapan tentang kerjaya sehingga timbul rasa takut, tertekan dan hilang keyakinan sebelum memulakan pekerjaan.
Ditambah pula dengan budaya media sosial yang memaparkan kejayaan kerjaya secara sempurna, ramai graduan mula merasakan mereka ketinggalan walaupun baru sahaja menamatkan pengajian.
Hakikatnya, tiada siapa yang benar-benar mempunyai laluan kerjaya yang sempurna. Kerjaya adalah proses pembelajaran yang sentiasa berubah, bukan perlumbaan untuk cepat berjaya.
Menurut Talent Labs, berikut merupakan beberapa mitos tentang kerjaya yang sering menakutkan graduan.
Pekerjaan pertama menentukan seluruh masa depan
Ramai graduan percaya bahawa mereka mesti mendapatkan pekerjaan sempurna sebaik tamat belajar. Jika gagal memasuki syarikat besar atau jawatan impian, mereka merasakan masa depan kerjaya sudah musnah.
Sebenarnya, pekerjaan pertama hanyalah tempat untuk belajar menjadi seorang profesional. Apa yang lebih penting ialah pengalaman, kemahiran dan cara seseorang menyesuaikan diri dengan dunia pekerjaan.
Kerjaya bukan hukuman seumur hidup. Seseorang masih boleh bertukar bidang, mempelajari kemahiran baharu dan membina laluan kerjaya yang berbeza pada masa hadapan.
Kerjaya yang sentiasa berkembang
Ramai menganggap perkembangan kerjaya perlu ikut secara berperingkat, iaitu daripada jawatan rendah ke jawatan tinggi. Namun realiti kerjaya pada masa sekarang lebih bersifat fleksibel.
Ada kalanya seseorang membuat keputusan untuk berhenti dari pekerjaan tradisional dari pukul sembilan hingga lima petang demi meneroka dan mempelajari perkara baharu yang diimpikan.
Perjalanan kerjaya yang berubah-ubah seperti ini tidak semestinya gagal. Pengalaman yang pelbagai itulah yang menjadikan seseorang lebih bernilai dalam pasaran kerja.
Bidang pengajian menentukan pekerjaan anda selamanya
Selalunya, graduan berasa terperangkap dengan bidang yang dipelajari di universiti. Mereka percaya pekerjaan mesti sama sepenuhnya dengan jurusan pengajian.
Hakikatnya, kebanyakan majikan hari ini lebih menilai hasil kerja berkualiti dengan kemahiran seperti komunikasi, pemikiran kritis untuk menyelesaikan masalah serta keupayaan belajar perkara baharu.
Ijazah membentuk cara anda berfikir dan menyelesaikan masalah, bukannya tiket untuk anda melayakkan pekerjaan semata-mata.
Perlu mencari minat sebelum bekerja
Terdapat graduan yang terlalu takut membuat keputusan kerana masih belum menemui minat sebenar dalam hidup.
Sebenarnya, minat selalunya berkembang apabila seseorang semakin mahir dalam sesuatu perkara. Ia jarang muncul secara tiba-tiba.
Daripada terlalu menunggu minat itu datang bergolek apabila bersedia, lebih baik ikut kata hati dan cuba pelbagai perkara demi pengalaman hidup. Dari situlah keyakinan, kemahiran dan minat sebenar akan terbentuk.
Rangkaian hanya untuk individu bersifat ‘extrovert’
Ramai anak muda menganggap ‘networking’ atau rangkaian sebagai sesuatu yang hanya sesuai untuk individu yang petah bercakap.
Sebaliknya, tujuan rangkaian yang sebenar adalah sebagai proses membina hubungan dan mengenali pengalaman orang lain.
Ia boleh bermula dengan sekecil-kecil bentuk perbualan sehingga soalan mendalam seperti perjalanan kerjaya seseorang atau berkongsi pandangan.
Selain permohonan kerja dalam talian, peluang kerjaya juga boleh hadir melalui hubungan yang dibina secara semula jadi menerusi rangkaian,
Jangan takut untuk mula sesuatu
Kesilapan yang ramai graduan lakukan adalah terlalu sibuk mencari langkah atau keputusan yang tepat, sehingga pada akhirnya tidak bergerak langsung.
Kerjaya dibina melalui pengalaman, kesalahan dan proses belajar yang berterusan. Tidak mengapa jika laluan kerjaya berubah beberapa kali kerana setiap pengalaman tetap membawa nilai berguna pada diri. – RELEVAN


