KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus bagi kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah untuk tahun kewangan 2025.
Agihan tersebut mula dikreditkan ke dalam akaun ahli bermula 1 Mac 2026, sekali gus memberi kelegaan dan suntikan keyakinan kepada jutaan pencarum di seluruh negara.
Walaupun kadar ini dianggap kompetitif dalam suasana ekonomi global yang masih mencabar, persoalan lebih besar ialah apa langkah seterusnya selepas dividen dikreditkan?
Menurut firma pengurusan aset global, Principal Malaysia, pengumuman dividen tahunan sepatutnya menjadi masa terbaik untuk ahli menilai semula strategi simpanan dan pelaburan mereka, bukan sekadar melihat jumlah yang bertambah dalam akaun.
Berikut antara perkara yang wajar dipertimbangkan:
1. Nilai semula kedudukan simpanan anda
Dividen tahunan sepatutnya menjadi titik semakan kewangan peribadi. Usah sekadar teruja melihat jumlah yang bertambah, sebaliknya nilai keseluruhan baki simpanan dan kedudukan sebenar anda dalam perancangan persaraan.
Tanya diri sendiri:
- Berapa jumlah terkini dalam akaun?
- Adakah ia selari dengan sasaran umur?
- Jika berhenti bekerja hari ini, berapa lama simpanan boleh bertahan?
Jika selepas menerima dividen baki masih jauh daripada sasaran persaraan, itu petanda perlunya strategi tambahan sama ada melalui caruman lebih tinggi atau pelaburan lain.
2. Pertimbangkan tambah caruman sukarela
Ramai ahli pernah membuat pengeluaran ketika pandemik, menyebabkan jurang simpanan semakin besar.
Caruman sendiri ke KWSP masih menikmati pelepasan cukai sehingga RM4,000 setahun (di bawah pelepasan gabungan caruman KWSP dan insurans hayat). Ini memberi dua manfaat:
- Meningkatkan dana persaraan
- Mengurangkan pendapatan bercukai
Jika mempunyai lebihan tunai atau bonus tahunan, caruman sukarela boleh membantu mempercepatkan pemulihan simpanan.
3. Nilai sama ada perlu melabur melalui i-Invest
KWSP membenarkan sebahagian simpanan Akaun 1 dilaburkan ke dana unit amanah yang diluluskan melalui kemudahan i-Invest.
Namun, keputusan ini perlu dibuat dengan berhati-hati. Potensi pulangan mungkin lebih tinggi daripada 6 peratus tetapi risiko turun naik pasaran juga lebih besar.
Sebelum membuat keputusan untuk melabur, pertimbangkan tahap toleransi risiko, tempoh pelaburan yang dirancang serta keupayaan untuk memantau prestasi dana secara berkala agar keputusan yang dibuat benar-benar selari dengan matlamat kewangan jangka panjang.
Jika tidak selesa dengan risiko, dividen konsisten KWSP mungkin lebih sesuai untuk profil konservatif.
4. Pelbagaikan strategi persaraan
Selain KWSP, ahli boleh mempertimbangkan instrumen lain seperti Private Retirement Scheme (PRS) yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Caruman PRS menikmati pelepasan cukai sehingga RM3,000 setahun (lanjutan insentif sehingga 2025). Diversifikasi membantu mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber sahaja.
Namun, pastikan anda fahamkan caj pengurusan dan risiko pasaran sebelum membuat komitmen.
5. Kira keperluan sebenar untuk bersara
Kadar dividen 6.15 peratus kelihatan menarik tetapi inflasi tahunan sekitar 2 hingga 3 peratus bermaksud pulangan sebenar lebih rendah.
Sebagai gambaran:
Jika anda memerlukan RM3,000 sebulan selepas bersara selama 20 tahun, jumlah simpan yang perlu ada sebelum bersara ialah sekitar RM720,000 (tidak termasuk kos perubatan dan inflasi jangka panjang).
Dividen tahunan sepatutnya dijadikan peluang untuk menilai semula perancangan kewangan termasuk menyesuaikan sasaran umur persaraan, menganggarkan perbelanjaan selepas bersara dan menilai sumber pendapatan tambahan yang tersedia.
Dividen KWSP bukan sekadar angka tambahan dalam akaun. Ia sepatutnya menjadi isyarat untuk menilai semula simpanan, menyesuaikan pelan persaraan dan memastikan langkah kewangan yang diambil hari ini dapat menjamin masa depan yang lebih selesa. – RELEVAN


