PERNAHKAH anda bertanya bagaimana orang tertentu boleh bersara lebih awal, sedangkan ramai yang lain masih bekerja keras sehingga usia persaraan atau dalam keadaan tertentu lebih 60 tahun
Menurut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), persaraan awal bukan sekadar untuk golongan berpendapatan tinggi atau mereka yang bernasib baik. Ia lebih kepada disiplin dan tabiat kewangan yang konsisten dalam jangka masa panjang.
Bukan soal gaji besar tetapi cara anda mengurus setiap ringgit yang diterima.
Berikut lima tabiat kewangan yang sering diamalkan oleh individu yang berjaya mencapai kebebasan kewangan dan bagaimana anda boleh mula mempraktikkannya hari ini.
-
Simpan dahulu, belanja kemudian
Ramai antara kita menyimpan baki selepas berbelanja. Realitinya, pendekatan itu jarang berhasil kerana pada hujung bulan, selalunya tiada lebihan yang tinggal untuk disimpan.
Pendekatan yang lebih berkesan ialah simpan dahulu. Sebaik sahaja gaji masuk, asingkan sebahagian terus ke akaun simpanan atau pelaburan sebelum memikirkan komitmen lain.
Sebagai contoh, jika gaji bulanan anda RM4,000, cuba pindahkan sekurang-kurangnya 10 peratus (RM400) terus ke simpanan. Baki RM3,600 barulah digunakan untuk komitmen seperti sewa, bil, makanan dan keperluan lain.
Apabila gaji meningkat, tingkatkan juga kadar simpanan anda. Daripada 10 peratus kepada 11 atau 12 peratus. Jika dilakukan secara konsisten, jumlah yang pada awalnya tidak seberapa mampu memberi kesan besar dalam tempoh 20 atau 30 tahun.
-
Hidup di bawah kemampuan
Hidup sederhana bukan bermaksud kedekut. Ia tentang membuat pilihan yang lebih sedar dan tidak terikut-ikut dengan gaya hidup orang lain.
Antara cabaran utama generasi hari ini ialah tekanan gaya hidup. Apabila pendapatan meningkat, perbelanjaan juga cenderung meningkat. Situasi ini dikenali sebagai lifestyle inflation.
Cuba semak semula perbelanjaan bulanan anda. Adakah terdapat langganan yang jarang digunakan? Adakah pembelian dibuat atas keperluan atau sekadar kehendak? Sedikit pelarasan boleh membuka ruang untuk lebih banyak simpanan atau pelaburan.
Ingat, kebebasan kewangan datang daripada jurang antara apa yang diperoleh dan apa yang dibelanjakan.
-
Urus hutang secara strategik
Tidak semua hutang bersifat negatif. KWSP menjelaskan bahawa terdapat hutang yang boleh membantu membina aset atau meningkatkan potensi pendapatan seperti pembiayaan pendidikan atau pembelian hartanah.
Namun, hutang pengguna seperti kad kredit berfaedah tinggi, pinjaman peribadi tanpa perancangan atau skim beli sekarang, bayar kemudian (BNPL) boleh menjadi beban jangka panjang jika tidak dikawal.
Bezanya terletak pada tujuan dan cara pengurusan. Jika anda sedang menanggung hutang, utamakan pelan pembayaran yang sistematik. Elakkan menambah komitmen baharu selagi hutang lama belum diselesaikan.
Hutang boleh menjadi alat yang membantu atau perangkap, bergantung kepada keputusan yang anda buat hari ini.
-
Terus belajar tentang kewangan
Individu yang berjaya dari segi kewangan jarang berhenti belajar. Mereka membaca, bertanya dan sentiasa mencari maklumat untuk memahami cara wang berfungsi.
Literasi kewangan ialah perjalanan sepanjang hayat. Dunia kewangan sentiasa berubah-ubah. Bermula daripada instrumen pelaburan hinggalah kepada risiko baharu dalam ekonomi digital.
Anda boleh mula dengan membaca artikel kewangan, mendengar podcast berkaitan pengurusan wang atau jadi sahaja pembaca setia Relevan. Kami sering kongsikan info dan maklumat berkaitan kewangan yang akan membantu anda terus cakna dengan pengurusan wang.
Pengetahuan bukan sahaja membantu anda mengembangkan simpanan malah melindungi anda daripada risiko dan penipuan.
-
Kelilingi diri dengan individu yang berkongsi matlamat sama
Persekitaran memberi pengaruh besar terhadap tabiat seseorang, termasuk tabiat kewangan.
Jika kita berada dalam kelompok yang menghargai simpanan, pelaburan dan perancangan masa depan, anda lebih terdorong untuk melakukan perkara yang sama. Perbualan tentang matlamat kewangan, peluang dan perkembangan diri boleh mencetuskan inspirasi dan disiplin.
Sebaliknya, jika persekitaran cenderung kepada perbelanjaan impulsif dan gaya hidup berlebihan, ia boleh mempengaruhi keputusan anda tanpa disedari.
Mencapai kebebasan kewangan bukan perjalanan yang perlu ditempuh sendirian. Sokongan dan perkongsian idea boleh menjadikan proses ini lebih realistik dan berterusan.
Mahu menjadi ‘orang kaya’ bukan semata-mata tentang jumlah pendapatan. Ia tentang mempunyai simpanan yang mencukupi untuk berasa selamat, kebebasan untuk membuat pilihan hidup dan ketenangan fikiran untuk merancang masa depan tanpa tekanan kewangan berlebihan.
Tabiat kecil yang konsisten hari ini mampu menentukan bentuk kehidupan anda pada masa hadapan. Sama ada matlamat anda ialah persaraan awal atau sekadar kestabilan kewangan, langkahnya bermula dengan keputusan harian yang bijak. – RELEVAN


