SETIAP kali bulan Ogos tiba, kita sering berbicara tentang kemerdekaan negara, kebebasan daripada penjajahan, kebebasan membuat pilihan dan kebebasan membina masa depan sendiri.
Tetapi dalam dunia korporat moden, ada satu bentuk penjajahan lain yang jarang dibicarakan iaitu beban kerja tidak berpenghujung.
Bagi ramai pekerja, hidup mereka berputar di sekitar kerja. Jam 9 pagi hingga 6 petang hanyalah angka di kontrak kerana hakikatnya kerja sering bersambung hingga larut malam.
Emel masuk tak berhenti, tugasan bertimbun dan mesyuarat penting muncul pada saat akhir. Lebih memburukkan keadaan, budaya kerja keras tanpa henti sering dipuji sebagai tanda dedikasi walaupun sebenarnya ia perlahan-lahan mengikis kesihatan mental dan fizikal kita.
Bebas bukan bererti malas
Memerdekakan diri daripada beban kerja tidak bermaksud kita mengabaikan tanggungjawab. Ia bermaksud kita mengawal sempadan antara kehidupan kerja dan kehidupan peribadi. Sama seperti negara yang berdaulat, kita juga berhak menentukan ‘sempadan wilayah’ terhadap masa dan tenaga sendiri.
Kita perlu mula berkata ‘tidak’ kepada tugasan tambahan yang tidak realistik. Semua orang berhak meminta masa rehat yang cukup dan kita tidak bersalah jika tidak membalas mesej kerja pada tengah malam.
Kebebasan ini bukan sahaja melindungi diri daripada burnout tetapi juga memastikan kita dapat bekerja dengan lebih fokus dan kreatif pada waktu sepatutnya.
Strategi memerdekakan diri daripada kerja berlebihan
-
Tetapkan sempadan masa
Ramai pekerja tidak sedar bahawa masa selepas waktu pejabat sebenarnya adalah hak peribadi yang perlu dilindungi. Tetapkan had jelas contohnya jam 6 petang adalah masa untuk berhenti bekerja kecuali ada kecemasan yang benar-benar kritikal.
Matikan notifikasi emel dan aplikasi kerja pada telefon supaya kita tidak tergoda untuk mengintai mesej daripada bos yang akhirnya memakan masa berjam-jam kerana diminta untuk menyelesaikan tugasan.
Dengan sempadan masa ini, kita memberi ruang kepada otak dan badan untuk berehat serta mengelakkan perasaan sentiasa bersedia yang boleh membawa kepada stres berpanjangan.
-
Utamakan tugasan penting
Tidak semua tugasan memerlukan perhatian segera. Di sinilah teknik Eisenhower boleh membantu. Ia adalah kaedah pengurusan masa yang membahagikan tugasan kepada empat kategori:
- Penting dan segera: Perlu dilakukan sekarang (contoh: masalah teknikal yang menjejaskan pelanggan).
- Penting tetapi tidak segera: Perlu dirancang dan disiapkan sebelum menjadi kecemasan (contoh: projek strategik yang tarikh akhir masih jauh).
- Tidak penting tetapi segera: Boleh diserahkan kepada orang lain atau diselesaikan secara ringkas tanpa mengambil terlalu banyak masa (contoh: emel rutin, permintaan kecil).
- Tidak penting dan tidak segera: Boleh ditangguhkan atau dihapuskan terus (contoh: mesyuarat yang tiada kaitan dengan kerja anda).
Dengan teknik ini, kita belajar mengutamakan tugasan yang benar-benar memberi impak besar kepada kerja dan masa depan dahulu. Bukannya terperangkap menyelesaikan hal-hal kecil yang nampak kecemasan tetapi sebenarnya tidak penting.
Contohnya, menyiapkan laporan bulanan yang akan dibentangkan esok jauh lebih utama daripada menyemak e-mel umum yang tiada tarikh akhir. Bila fokus jelas, kita dapat menyiapkan kerja dengan lebih tenang tanpa terkejar-kejar.
-
Komunikasi dengan jelas
Ramai pekerja terperangkap dalam beban kerja berlebihan kerana takut mengatakan ‘tidak’ atau takut untuk meminta pertolongan.
Padahal, komunikasi yang jelas boleh mencegah salah faham dan tekanan tidak perlu. Jika beban kerja sudah melebihi kemampuan, maklumkan kepada ketua atau pasukan dengan cara profesional.
“Saya boleh siapkan tugasan ini tapi ia mungkin akan menjejaskan tarikh siap projek lain. Mana satu perlu saya utamakan?” Ini bukan tanda lemah tetapi tanda kita mengurus kerja secara strategik.
-
Rehat tanpa rasa bersalah
Dalam budaya kerja kita, rehat kadang-kadang dianggap malas atau tidak produktif. Hakikatnya, otak kita perlukan masa rehat sekejap untuk kembali segar dan fokus.
Rehat sekurang-kuranngnya selama 10 hingga 15 minit setiap jam untuk regangkan badan, minum air atau sekadar berhenti menenung skrin komputer.
Paling penting, gunakan waktu makan tengah hari untuk benar-benar berehat, bukan sambil menjawab e-mel. Apabila kita kembali bekerja, fokus dan tenaga akan meningkat lalu membolehkan tugasan disiapkan lebih cepat dan berkualiti.
-
Belajar melepaskan
Sikap terlalu mengejar kesempurnaan adalah salah satu punca utama kerja tak habis-habis. Kita mahu semuanya nampak sempurna sehingga sanggup mengorbankan masa dan tenaga berlebihan. Hakikatnya, tidak semua tugasan memerlukan tahap kesempurnaan 100 peratus.
Belajar melepaskan juga bermaksud kita tidak membawa masalah kerja pulang ke rumah. Dengan menetapkan had mental ini, kita memberi peluang kepada diri untuk menikmati kehidupan di luar pejabat. – RELEVAN


