KANAK-kanak memang sukakan kotoran. Setiap kali hujan sahaja mesti mahu melompat dan bermain di lopak air atau lopak lumpur dan tidak mengambil berat tentang kasut, pakaian atau aspek lain yang menjadi perhatian ibu bapa.
Disebabkan itu, ada sesetengah ibu bapa yang tidak mengizinkan anak-anak bermain di luar.
Menjauhkan mereka daripada kuman semestinya membantu mencegah penyakit tetapi membenarkan mereka menjadi kotor juga penting untuk menggalakkan perkembangan.
Pertimbangkan beberapa faedah di bawah dan benarkan anak-anak bebas bermain tanpa terlalu menitikberatkan kebersihan.
- Meningkatkan sistem imun
Kita sentiasa dikelilingi oleh kotoran dan kekotoran. Apabila kanak-kanak terdedah kepada kuman dan kotoran, sistem imun mereka mula bergerak dan menjadi lebih kuat.
Ini bermakna, sekiranya ibu bapa sorok dan simpan anak untuk melindungi mereka daripada sebarang bakteria, ini menyebabkan sistem imun mereka menjadi tidak produktif. Ini hanya akan menjadikan badan mereka tidak bersedia untuk mempertahankan diri daripada jangkitan.
- Meningkatkan keseronokan
Di peringkat umur kanak-kanak, mereka memang gemar meneroka dan menjelajah. Dalam proses ini, mereka berhubung dengan objek, tekstur, bau dan sensasi yang berbeza.
Sekiranya ibu bapa menyuruh mereka berhenti bermain dengan kotoran, ia sama seperti kita menyuruh mereka berhenti meneroka.
Sebarang aktiviti dalam kehidupan seharian boleh menjadi permainan dan boleh menyebabkan kanak-kanak tidak mengambil berat tentang kebersihan.
Fokus utama adalah pada keseronokan dan bermain adalah sumber keseronokan serta cara mereka bersatu dengan alam.
- Pendedahan kepada tekstur yang berbeza
Ramai kanak-kanak mempunyai hipersensitiviti dan tidak selesa dengan apa sahaja yang mempunyai tekstur melekit, kasar atau tidak sekata. Secara amnya, mereka akan menunjukkan reaksi negatif terhadap tekstur berlainan apabila tibanya waktu makan.
Contohnya, tidak suka atau geli untuk memegang tekstur lembut kacang hijau atau telur hancur. Selain itu, jika mereka hanya bermain dengan elemen licin, lembut dan biasa, ia akan menjadi lebih sukar bagi mereka untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai tekstur yang lain.
Ada kanak-kanak yang tidak suka memijak rumput dan permukaan pasir sehingga menangis. Justeru itu, ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting untuk membiasakan dan mendedahkan teksur yang berlainan untuk memberi sensasi yang berbeza.
- Menimbulkan rasa ingin tahu
Kanak-kanak yang tidak kisah bermain sehingga comot dan kotor menunjukkan bahawa mereka mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi. Ini merupakan perkara yang bagus dan akan membentuk mereka sebagai orang yang sentiasa ingin tahu serta mahu menimba ilmu apabila besar kelak.
Kanak-kanak yang mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi juga akan menghubungkan mereka dengan persekitaran dengan cara yang aktif dan kreatif. Selain itu, mereka memerhati, menyentuh dan merasa tanpa rasa takut mengabaikan kekemasan pakaian atau kebersihan kulit.
Dengan cara ini, ia akan merangsang rasa ingin tahu dan memupuk kreativiti. Membenarkan anak anda menjadi kotor bukan sahaja akan memberikan kegembiraan dan keseronokan, malah akan merangsang imaginasi dan fleksibiliti kognitif mereka juga.
- Menggalakkan mereka berhubung dengan alam
Walaupun dalam ruang tertutup juga ada kekotoran dan bakteria, persekitaran semula jadi penuh dengan unsur yang boleh menghasilkan kotoran, seperti rumput atau air.
Sebenarnya adalah mustahil untuk membawa kanak-kanak menghabiskan waktu petang di taman dan meminta mereka pulang ke rumah dalam keadaan bersih. Sebagai ibu bapa, kita perlu sedar bahawa aktiviti luar sangat berharga untuk perkembangan fizikal, mental dan emosi anak-anak. – RELEVAN