AQILAH (bukan nama sebenar) sedang menunggu masuk waktu solat Zuhur di sebuah pusat beli-belah. Solekannya masih elok dan tudungnya juga sudah dililit kemas.
Dia terfikir betapa lecehnya jika perlu membuka menanggalkan semuanya hanya kerana wuduk terbatal. Oleh itu, dia cuba sedaya upaya untuk menahan kentut yang sudah “menekan” beberapa minit selepas makan tengah hari.
Situasi seperti ini pasti sering berlaku, lebih-lebih lagi bagi kaum wanita yang berada di luar rumah dan mahu menjaga wuduk. Tanpa sedar, tindakan tahan kentut itu sebenarnya berisiko tinggi mendapat masalah kesihatan.
Masalah kesihatan akibat tahan kentut
Menurut laporan Hello Doktor, tabiat tahan kentut boleh menyebabkan beberapa kesan buruk kepada kesihatan diri. Antaranya termasuk:
- Kesakitan pada bahagian perut
- Masalah perut kembung
- Rasa senak dan tidak selesa
- Pedih ulu hati
Apabila seseorang berusaha keras untuk menahan daripada membuang angin, tekanan dalam usus juga meningkat. Akibat itu, gas atau angin yang tidak dilepaskan boleh menyebabkan perut buncit.
Jika ditafsirkan menerusi proses saintifik, gas hasil daripada tahan kentut kemudiannya dihembus keluar melalui nafas. Keadaan ini yang juga dipanggil sebagai proses sendawa menyebabkan mulut berbau busuk.
Terdapat juga kajian lain yang mencadangkan bahawa tekanan berulang di bahagian rektum akibat tahan kentut mungkin meningkatkan risiko diverticulitis (keradangan pada kantung kecil di dinding usus besar).
Cara mengurangkan kekerapan kentut
Ada pepatah mengatakan “kita adalah apa yang kita makan”, bermaksud kesihatan diri kita mencerminkan cara pemakanan kita. Oleh itu, boleh ubah dan kawal pemakanan kita sedikit demi sedikit mulai sekarang. Berikut merupakan makanan yang perlu anda kurangkan supaya kurang kentut.
- Bawang putih
- Kubis
- Cendawan
- Buah aprikot, mangga, epal dan tembikai
- Gandum
- Produk tenusu
- Makanan berproses
- Minuman bergas seperti air soda
Harus diingat bahawa buang angin atau kentut ialah proses semula jadi yang membantu melegakan tekanan dalam usus. Normalisasikan kentut sebagai perkara tidak memalukan. Bagaimanapun perlulah beradab, sebaiknya melepaskan ketika tiada orang di sekeliling. Apa yang penting adalah jangan tahan kentut sehingga memudaratkan tubuh badan. – RELEVAN

