KEMAJUAN teknologi secara tidak langsung mendorong kemajuan pendidikan dalam pelbagai aspek. Ia telah membuka pintu akses yang lebih luas kepada para pendidik dan guru. Walau bagaimanapun, kemajuan juga boleh mewujudkan ketidakadilan dan kekacauan.
Sama ada baik atau buruk impaknya, penggunaan teknologi dalam pembelajaran akan digunakan dengan lebih meluas seiring dengan inovasi teknologi yang semakin berkembang.
Sebuah syarikat penyelidikan dan pembangunan kecerdasan buatan, OpenAI memperkenalkan ChatGPT pada 2022. ChatGPT ialah alat kecerdasan buatan yang dilatih untuk mengikuti arahan melalui penggesa (prompt) dan membekalkan maklum balas yang terperinci.
Ia boleh digunakan oleh sesiapa sahaja yang mempunyai peranti dan internet secara percuma. Ia boleh diakses secara meluas, terutamanya bagi pelajar yang pada zaman ini membesar dengan kemahiran digital.
Persoalannya, bagaimanakah ChatGPT akan mengubah masa depan pendidikan?
Kemahiran menyelesaikan masalah
Pada awal Januari lalu, sebuah sekolah di New York City mengharamkan penggunaan ChatGPT pada peranti dan rangkaian mereka. Pendidik bimbang pelajar yang menggunakan aplikasi itu tidak akan mempelajari kemahiran berfikir kritis dan kreatif serta kemahiran menyelesaikan masalah.
Mereka juga bimbangkan jawapan yang diberikan oleh ChatGPT itu mungkin tidak tepat, sekali gus menyampaikan maklumat yang salah kepada pelajar. Oleh itu, banyak sekolah lain di Amerika Syarikat dan seluruh dunia telah melarang penggunaan ChatGPT dalam pengajaran dan pembelajaran.
Seorang pendidik dalam jurusan sains komputer di Stanford, Keith Schwarz berkata dia telah kembali kepada sistem peperiksaan yang menggunakan pensil dan kertas agar pelajar tidak boleh menggunakan ChatGPT.
Baik buruk ChatGPT
Tidak dinafikan, pengguna ChatGPT meninggalkan maklum balas yang hebat selepas menggunakannya. Science News melaporkan bahawa ChatGPT menghasilkan bahan yang baharu. Ini bermaksud, apa sahaja jawapan yang diberikan oleh ChatGPT bukan plagiat teknikal.
Melalui ChatGPT, pelajar boleh menggunakannya seperti guru tuisyen untuk membantu meningkatkan kemahiran penulisan dan tatabahasa atau menerangkan subjek dan topik yang mencabar dengan lebih mudah.
Para pendidik juga boleh menggunakan ChatGPT untuk menjana pelan pengajaran, aktiviti dalam kelas atau penilaian. Semua ini kedengaran sangat memudahkan tetapi ada juga buruknya. Paling membimbangkan, ChatGPT dan aplikasi kecerdasan buatan yang serupa boleh memberi maklumat yang salah.
Mereka tidak menggunakan fakta daripada pangkalan data terkini yang terdapat di internet. Sebaliknya, mereka dilatih untuk menghasilkan teks baharu yang kedengaran semula jadi atau dalam ayat yang dituturkan oleh manusia.
Kebanyakan data yang diajarkan kepada ChatGPT bertarikh sebelum September 2021. Boleh dikatakan sesetengah maklumat sudah tidak boleh dipakai atau tidak terkini. Ia juga tidak menyediakan sumber untuk maklumatnya.
Menurut pakar etika teknologi di University of Colorado Boulder, Casey Fiesler, jika ditanyakan sumber maklumat, ChatGPT hanya mengada-adakannya. Selain itu, walaupun bahan yang dihasilkan oleh ChatGPT dikatakan bukan plagiat teknikal, risiko pelajar menggunakannya untuk memplagiat hasil kerja masih tinggi.
ChatGPT dikatakan mampu mengubah masa hadapan pendidikan. Namun, kajian yang lebih teliti perlu dilakukan untuk mengenal pasti sama ada ia memberi kesan yang lebih baik atau lebih buruk.
Walaupun ia boleh menjadi alat yang berguna untuk para pendidik dan pelajar, ia juga boleh disalahgunakan oleh pelajar dengan memplagiat hasil kerja atau terlalu bergantung kepada teknologi.
Ini menjadi masalah apabila pelajar tidak dapat ilmu yang tulen dan mungkin merisikokan prestasi kerja mereka pada masa hadapan. – RELEVAN