KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akhirnya diumumkan. Ada yang tersenyum puas dan mungkin beberapa pelajar berasa kecewa atau keliru memikirkan langkah seterusnya.
Namun, menurut Konsultan Kerjaya, Nik Akmal Afif Nik Othman, keputusan yang diterima hari ini bukanlah penamat. Sebaliknya titik permulaan kepada perjalanan yang lebih besar dalam kehidupan.
Jadi, apa yang patut dilakukan selepas mendapat keputusan SPM? Berikut lima langkah bijak yang boleh membantu pelajar menentukan arah dengan lebih jelas.
-
Fahamkan bahawa SPM hanyalah permulaan
Ramai pelajar menganggap keputusan SPM sebagai penentu mutlak masa depan. Hakikatnya, ia hanya tiket untuk membuka laluan ke peringkat seterusnya sama ada dalam pendidikan mahupun kerjaya.
Menurut Nik Akmal, SPM bukan penamat tetapi permulaan kepada dunia sebenar. Keputusan yang baik mungkin memudahkan pilihan, manakala keputusan sederhana atau rendah pula mungkin memerlukan strategi lain. Namun, peluang untuk berjaya tetap terbuka luas.
Paling penting, pelajar perlu melihat keputusan ini sebagai satu langkah awal untuk bergerak ke hadapan, bukan sebagai pengukur nilai diri.
-
Tentukan ‘destinasi’ sebelum memilih laluan
Salah satu kesilapan paling biasa dalam kalangan pelajar ialah memilih kursus tanpa mengetahui hala tuju kerjaya. Sedangkan, langkah yang betul adalah sebaliknya.
Tegas Nik Akmal, pilih destinasi dahulu. Kemudian baru pilih kenderaan untuk sampai ke destinasi. Destinasi di sini bermaksud apakah kerjaya impian anda? Kenderaan pula ialah pilihan jurusan yang akan membawa anda kepada kerjaya impian.
Sebagai contoh, jika seseorang berminat menjadi pereka grafik, maka kursus berkaitan reka bentuk kreatif adalah pilihan yang lebih tepat berbanding memilih bidang secara rawak hanya kerana mengikut rakan atau trend semasa.
-
Kenali diri melalui minat, bakat dan permintaan
Dalam menentukan arah, pelajar disarankan menggunakan pendekatan mudah iaitu melihat tiga aspek utama: minat, bakat dan permintaan pasaran kerja.
Minat merujuk kepada perkara yang disukai, bakat pula adalah kelebihan semula jadi yang dimiliki, manakala permintaan ialah peluang dalam pasaran kerja.
Menurut Nik Akmal, antara ketiga-tiga ini, bakat adalah perkara yang tidak wajar dikompromi. Jika seseorang berada dalam bidang yang tidak sesuai dengan bakatnya, mereka mungkin akan berdepan kesukaran untuk berkembang.
Minat boleh dipupuk dan permintaan boleh berubah mengikut masa tetapi mengenal pasti kekuatan diri adalah kunci untuk membina kerjaya yang mampan.
-
Terokai pelbagai pilihan yang ada
Bagi pelajar yang tidak mendapat kursus atau institusi pilihan, jangan terburu-buru berasa putus asa. Sebenarnya, terdapat pelbagai laluan lain yang boleh diteroka.
Antaranya termasuk membuat rayuan UPU, memohon kemasukan ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) atau memilih laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini semakin mendapat tempat dalam pasaran kerja.
Selain itu, bekerja terlebih dahulu juga bukan satu kegagalan. Malah, pengalaman bekerja boleh membantu pelajar memahami minat sebenar dan melihat realiti dunia pekerjaan.
Di sesetengah negara, amalan bekerja sebelum menyambung pelajaran adalah perkara biasa kerana ia memberi perspektif yang lebih jelas kepada pelajar sebelum membuat keputusan besar dalam hidup.
-
Jangan bandingkan diri dengan orang lain
Dalam era media sosial, perbandingan sering kali tidak dapat dielakkan. Melihat rakan-rakan berjaya memperoleh keputusan cemerlang boleh membuatkan seseorang berasa ketinggalan.
Namun, Nik Akmal menegaskan bahawa setiap individu mempunyai perjalanan yang berbeza. Ada yang mencapai kejayaan lebih awal, ada juga yang mengambil masa lebih panjang untuk berkembang.
Oleh itu, pelajar tidak perlu terlalu tertekan atau merasa rendah diri. Fokus kepada langkah sendiri dan terus berusaha memperbaiki diri adalah lebih penting daripada membandingkan pencapaian dengan orang lain. – RELEVAN


