PUSAT Penyelidikan Ekonomi dan Perniagaan (CEBR) meramalkan dunia bakal berhadapan dengan kemelesetan ekonomi pada 2023. Ini ekoran peningkatan kos pinjaman yang dikatakan sebagai salah satu usaha bagi menangani inflasi dan menjejaskan kestabilan ekonomi.
Buat pertama kalinya, ekonomi global melepasi AS$100 trilion (RM442.3 trilion) pada 2022. Namun, pakar menjangkakan pertumbuhan ekonomi akan terhenti pada 2023 apabila penggubal dasar meneruskan usaha menentang kenaikan harga, kata organisasi perunding British itu dalam World Economic League Table.
“Ekonomi dunia bakal menghadapi kemelesetan pada tahun hadapan disebabkan kenaikan kadar faedah bagi mengatasi kadar inflasi yang lebih tinggi,” kata Pengarah dan Ketua Ramalan di CEBR, Kay Daniel Neufeld.
Menurut laporan itu juga, usaha bagi mengurangkan inflasi masih belum berjaya sepenuhnya. Mereka menjangkakan bank pusat akan terus berusaha mengurangkan mengurangkan inflasi pada 2023 meskipun akan melibatkan kos ekonomi yang tinggi.
Kos untuk menurunkan inflasi pula dikatakan mungkin akan menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi yang lebih buruk untuk beberapa tahun akan datang.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengeluarkan amaran pada Oktober lalu bahawa lebih satu pertiga daripada ekonomi dunia akan merosot. Jika dibandingkan dengan ramalan yang dikeluarkan oleh IMF, hasil kajian ini bersifat lebih pesimis.
Amaran daripada IMF menyatakan bahawa terdapat 25 peratus kemungkinan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global berkembang kurang daripada dua peratus pada 2023, yang ditakrifkan sebagai kemelesetan global.
Namun, menjelang 2037, KDNK dunia dijangka akan meningkat dua kali ganda apabila negara dengan ekonomi membangun mula mengejar pertumbuhan negara-negara maju.
Imbangan kuasa yang beralih akan menyaksikan rantau Asia Timur dan Pasifik menyumbang lebih satu pertiga daripada pengeluaran global menjelang 2037, manakala bahagian Eropah susut kepada kurang daripada satu perlima.
CEBR mengumpulkan data daripada Tinjauan Ekonomi Dunia oleh IMF dan menggunakannya sebagai rujukan bagi meramalkan pertumbuhan, inflasi dan kadar pertukaran.
China kini masih belum bersedia untuk mengatasi AS sebagai ekonomi terbesar dunia sekurang-kurangnya menjelang 2036 iaitu enam tahun lewat daripada jangkaan.
Keadaan ini mencerminkan bahawa dasar sifar Covid-19 yang diperkenalkan China dan ketegangan perdagangan telah memperlahankan perkembangan ekonominya.
CEBR pada asalnya menjangkakan peralihan China menjadi kuasa ekonomi terbesar dunia pada 2028 namun dianjakkan kepada 2030 dalam jadual liga ekonomi tahun lepas.
Pakar menjangkakan peralihan ini mungkin tidak akan berlaku sehingga 2036 dan wujud kebarangkalian ia akan berlaku lebih lewat sekiranya Beijing cuba mengawal Taiwan dan berdepan dengan sekatan perdagangan balas.
“Kesan peperangan ekonomi antara China dan Amerika Syarikat (AS) dijangka akan menjadi beberapa kali ganda lebih teruk berbanding kesan serangan Rusia ke atas Ukraine kepada ekonomi.
“Sekiranya peperangan ekonomi antara China dan AS semakin berlanjutan, terdapat kemungkinan bahawa kemelesetan dunia akan berlaku lebih teruk dan akan menyebabkan kelahiran semula inflasi,” kata CEBR.
CEBR juga menambah bahawa kesan peperangan ini kepada China akan menjadi berkali-kali ganda lebih teruk dan akan menjejaskan sebarang percubaan negara itu untuk menjadi peneraju ekonomi dunia.
Selain itu, CEBR juga menyenaraikan beberapa ramalan seperti berikut:
- India akan menjadi negara ketiga dengan saiz ekonomi nilai AS$10 trilion (RM44.2 trillion) pada 2035 dan negara ketiga terbesar di dunia menjelang 2032.
- UK akan kekal sebagai ekonomi keenam terbesar di dunia manakala Perancis di kedudukan ketujuh dalam tempoh 15 tahun akan datang. Tetapi Britain masih belum bersedia untuk berkembang lebih cepat daripada negara-negara Eropah lain kerana ketiadaan dasar berorientasikan pertumbuhan dan kekurangan visi yang jelas tentang peranannya di luar Kesatuan Eropah.
- Ekonomi baru muncul dengan sumber asli akan mendapat rangsangan yang besar kerana bahan api fosil memainkan peranan penting dalam peralihan kepada tenaga boleh dibaharui.
- Ekonomi global adalah jauh daripada paras KDNK per kapita iaitu pada AS$80,000 (RM353,840) di mana pelepasan karbon akan berkurangan. Ini bermakna campur tangan dasar lanjut diperlukan untuk mencapai sasaran bagi mengehadkan pemanasan global kepada hanya 1.5 darjah di atas paras praindustri. – RELEVAN