JANGKITAN baharu Covid-19 mencatatkan sebanyak 21,483 kes semalam berbanding 17,828 kes kelmarin.
Pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia pada ketika ini ialah sebanyak 4,032,435 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kategori 1 mencatatkan sebanyak 10,455 kes atau 48.67 peratus manakala sebanyak 10,862 kes atau 50.56 peratus didiagnosis dalam kategori 2.
Jelas beliau, kategori 3 pula mencatatkan sebanyak 57 kes (0.27 peratus), 46 kes (0.21 peratus) dalam kategori 4 dan 63 kes (0.29 peratus) bagi kategori 5.
Semalam juga mencatatkan sebanyak 32,561 kes sembuh, menjadikan jumlah terkumpul kesembuhan adalah sebanyak 3,745,229 kes.
Dalam pada itu, menurut data laman web CovidNow, semalam juga mencatatkan 73 kematian dengan 25 daripadanya merupakan kematian sebelum tiba di hospital (BID).
Sekali gus, menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 setakat semalam adalah sebanyak 34,535 kematian manakala jumlah terkumpul BID sebanyak 7,269 kes.
Jumlah kes aktif Covid-19 di Malaysia pada ketika ini ialah sebanyak 252,671 dengan 244,262 atau 96.7 peratus pesakit menjalani kuarantin di rumah dan 1,453 kes atau 0.6 peratus di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
Sebanyak 6,617 atau 2.6 peratus pesakit dirawat di hospital, 130 atau 0.1 peratus berada di unit rawatan rapi (ICU) tanpa alat bantuan pernafasan dan 209 atau 0.1 peratus lagi di ICU dengan alat bantuan pernafasan. – RELEVAN