PERNAHKAH anda mendengar tentang penyakit autoimun? Walaupun namanya kurang dikenali berbanding penyakit lain seperti diabetes atau darah tinggi, ia boleh memberi kesan besar kepada kesihatan.
Menurut Hospital Columbia Asia, penyakit ini berlaku apabila sistem imun yang sepatutnya melindungi tubuh daripada virus, malas bertindak sebaliknya dengan menyerang sel serta tisu badan sendiri.
Keadaan ini boleh menjejaskan pelbagai organ termasuk kulit, sendi, usus, kelenjar tiroid, saraf dan organ dalaman lain.
Apa itu penyakit autoimun?
Fungsi sebenar sistem imun adalah untuk mempertahankan badan secara semula jadi. Namun, bagi individu yang menghidap penyakit autoimun, sistem ini gagal membezakan antara sel badan sendiri dan bahan asing.
Akibatnya, antibodi yang dihasilkan akan menyerang organ atau tisu dalam badan, lalu menyebabkan keradangan pada bahagian tubuh badan tertentu.
Terdapat lebih daripada 80 jenis penyakit autoimun yang telah dikenal pasti oleh pakar perubatan.
Tanda yang perlu diberi perhatian
- Mudah letih dan lesu
- Demam berpanjangan
- Sakit otot
- Keguguran rambut
- Susut berat badan tanpa sebab jelas
- Ruam pada kulit
- Mata dan mulut kering
- Kebas pada tangan dan kaki
Jenis penyakit autoimun
- Lupus (SLE)
Lupus boleh menyerang pelbagai organ seperti kulit, sendi, buah pinggang dan jantung. Pesakit biasanya mengalami keletihan melampau, sakit sendi serta ruam berbentuk rama-rama pada bahagian pipi dan hidung.
- Rheumatoid Arthritis (RA)
Penyakit ini menyebabkan keradangan pada sendi sehingga mengakibatkan kesakitan, bengkak dan kekakuan. Jika tidak dirawat, sendi boleh mengalami kerosakan kekal dan menjejaskan pergerakan harian.
- Psoriasis
Psoriasis menyerang kulit dan menyebabkan sel kulit membiak terlalu cepat. Keadaan ini menghasilkan tompokan kulit yang merah, tebal dan bersisik, terutama pada kulit kepala, lutut dan siku.
- Penyakit tiroid
Antibodi yang menyerang kelenjar tiroid boleh menyebabkan penghasilan hormon menjadi terlalu tinggi atau terlalu rendah. Keadaan ini boleh menjejaskan metabolisme, berat badan serta tahap tenaga seseorang.
- Celiac Disease
Penyakit ini berlaku apabila sistem imun bertindak balas terhadap gluten yang terdapat dalam gandum. Akibatnya, usus kecil mengalami kerosakan dan proses penyerapan nutrien terganggu.
Mengapa autoimun boleh berlaku ?
- Sejarah keluarga yang mempunyai penyakit autoimun
- Faktor hormon dan jantina
- Jangkitan virus atau bakteria tertentu
- Pendedahan kepada bahan kimia berbahaya
- Tekanan emosi berpanjangan
- Tabiat merokok
- Kekurangan nutrisi tertentu
Bahayakah penyakit autoimun ?
Tahap bahaya penyakit autoimun bergantung kepada jenis penyakit dan organ yang terlibat.
Dalam kes ringan, pesakit mungkin hanya mengalami ketidakselesaan dan gangguan aktiviti harian.
Namun, dalam kes yang lebih serius, penyakit ini boleh menyebabkan kerosakan organ, hilang keupayaan fizikal dan komplikasi yang mengancam nyawa. Oleh itu, pengesanan awal sangat penting bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
Bolehkah ia dirawat ?
Walaupun kebanyakan penyakit autoimun belum ada penawar yang boleh menyembuhkan sepenuhnya, rawatan moden mampu membantu mengawal dan memperlahankan perkembangan penyakit. Rawatan biasanya bertujuan untuk:
- Mengurangkan keradangan
- Mengawal tindak balas sistem imun
- Mengurangkan kesakitan
- Mencegah kerosakan organ
- Meningkatkan kualiti hidup pesakit
Dengan diagnosis awal, pemantauan berkala dan pematuhan kepada rawatan, ramai pesakit autoimun masih mampu menjalani kehidupan yang aktif dan produktif. – RELEVAN


