SEMUA orang pernah melalui hari yang terasa berat. Bangun pagi tetapi semangat untuk bekerja atau menyiapkan tugasan seolah-olah hilang entah ke mana. Akhirnya, kerja tertangguh, emosi terganggu dan rasa bersalah mula muncul.
Keadaan ini sering dilabel sebagai malas. Namun, tidak semestinya ia sesuatu yang negatif semata-mata.
Menurut Penolong Profesor Pentadbiran Perniagaan di Harvard Business School, Jon M. Jachimowicz, rasa malas kadangkala boleh menjadi isyarat bahawa tubuh dan minda sebenarnya memerlukan rehat atau ada sesuatu dalam rutin harian yang perlu diperbetulkan.
Masalahnya, apabila tanggungjawab tetap perlu diselesaikan, kita tidak boleh sekadar menunggu semangat datang. Perlu ada strategi untuk bergerak semula.
Berikut lima cara yang boleh membantu mengatasi rasa malas dan kembali fokus.
-
Kenal pasti apa yang boleh mendorong anda
Setiap orang mempunyai sumber motivasi yang berbeza. Ada yang terdorong oleh matlamat kerjaya. Ada juga yang bergerak kerana ingin mencapai kestabilan kewangan atau kejayaan peribadi.
Apabila anda tahu apa yang anda kejar, ia lebih mudah untuk kekal fokus.
Cuba tuliskan matlamat utama anda dan letakkan di tempat yang mudah dilihat setiap hari, contohnya di meja kerja atau skrin komputer. Ia berfungsi sebagai peringatan kecil apabila semangat mula menurun.
Kadangkala, rasa malas bukan kerana tiada motivasi tetapi kerana kita terlupa sebab kita bermula.
-
Kurangkan gangguan di sekeliling
Gangguan kecil yang berulang seperti media sosial, notifikasi telefon atau tab internet yang tidak berkaitan boleh mengganggu fokus tanpa kita sedar.
Ambil sedikit masa untuk mengenal pasti perkara yang sering mencuri perhatian anda. Selepas itu, cuba hadkan akses atau tetapkan waktu khusus untuk aktiviti tersebut.
Apabila gangguan berkurang, tenaga mental yang sebelum ini terbazir boleh digunakan untuk menyiapkan kerja yang lebih penting.
-
Wujudkan rasa tanggungjawab luaran
Manusia cenderung lebih berdisiplin apabila ada pihak lain yang mengetahui atau memantau kemajuan kerja mereka.
Sebab itu, berkongsi matlamat dengan rakan sekerja atau ahli keluarga boleh membantu meningkatkan komitmen. Lebih baik jika individu tersebut mampu memberi maklum balas yang jujur dan membina.
Dalam konteks kerja atau belajar, tanggungjawab kepada bos pensyarah atau pengurus juga boleh menjadi tekanan sihat yang mendorong kita untuk kekal bergerak.
-
Beri ruang untuk rehat yang terancang
Kemalasan kadangkala bukan tanda malas sebenar, tetapi tanda keletihan mental.
Otak tidak mampu mengekalkan fokus secara berterusan dalam tempoh panjang tanpa rehat. Apabila dipaksa, prestasi akan menurun dan akhirnya menimbulkan rasa jemu.
Salah satu cara yang boleh digunakan ialah Teknik Pomodoro – bekerja dalam tempoh fokus 25 minit, diikuti rehat 5 minit. Ulang kitaran ini beberapa kali sebelum mengambil rehat lebih panjang.
Kaedah ini membantu mengurangkan tekanan untuk buat semua sekaligus dan menjadikan kerja lebih mudah diurus.
-
Tetapkan sasaran yang realistik
Antara punca utama rasa malas berpanjangan ialah matlamat yang terlalu besar atau tidak jelas.
Apabila sasaran terlalu tinggi dan sukar dicapai, ia boleh menyebabkan seseorang berasa terbeban sebelum mula bekerja.
Sebaliknya, bahagikan matlamat besar kepada beberapa langkah kecil yang lebih mudah dicapai. Setiap kali satu tugasan berjaya diselesaikan, anda akan merasa sedikit kejayaan yang boleh mendorong untuk terus bergerak ke hadapan secara konsisten. – RELEVAN


