SETIAP pagi, Farah melangkah masuk ke pejabat dengan tenang. Ditemani secawan kopi di tangan, dia sudah bersedia menyusun hari dengan tugasan yang menunggu untuk diselesaikan.
Di jabatannya, dia dikenali sebagai pekerja paling cekap. Masalah kecil atau besar, namanya akan disebut dahulu. Idea pula datang seolah-olah tidak pernah kering. Secara tidak langsunf, ia menjadikan dirinya antara tunjang utama pasukan.
Namun tanpa disedari, reputasi itu perlahan-lahan berubah menjadi sesuatu yang lain – semua orang mula terlalu bergantung kepadanya.
Dan di sinilah masalahnya bermula.
‘Cekap’ jadi alasan
Pada awalnya, ia nampak seperti pujian. Bos percaya, rakan sekerja menghargai jadi dia sering menerima tugasan penting.
Tetapi lama-kelamaan, situasi berubah. Setiap masalah terus dirujuk kepadanya. Setiap keputusan menunggu pandangannya. Bahkan kerja yang sepatutnya boleh diagihkan, akhirnya berkumpul di mejanya seorang.
Tanpa sedar, Farah bukan lagi sekadar pekerja cekap. Dia menjadi satu-satunya ‘tukang’ menyelesaikan semua masalah.
Beban yang tidak seimbang
Kepercayaan itu ada nilainya. Ia boleh membuka ruang kepada kenaikan tanggungjawab, peluang kepimpinan dan perkembangan kerjaya.
Namun pada masa yang sama, ia mencipta ketidakseimbangan yang halus tetapi berbahaya.
Apabila satu individu terlalu kerap menjadi penyelamat, pasukan lain mula kurang mengambil tanggungjawab. Akhirnya, beban kerja tidak lagi dibahagi sama rata.
Hasilnya? Penat tidak sempat diproses, kerja lebih masa menjadi rutin.
Jangkaan tidak realistik
Orang yang dianggap cekap biasanya mula meletakkan standard tinggi bukan sahaja pada diri sendiri tetapi terhadap orang lain.
Masalah timbul apabila tidak semua orang bekerja dengan kadar yang sama.
Apa yang bagi dirinya nampak mudah, mungkin mengambil masa lebih lama untuk orang lain. Di situ mula wujud salah faham, kekecewaan dan kadang-kadang ketegangan dalam pasukan.
Pada masa yang sama, tekanan paling besar sering datang daripada diri sendiri.
Bila sesuatu tidak berjalan seperti dirancang, dia mula mempersoalkan kemampuan sendiri walaupun hakikatnya kerja yang dilakukan sudah pun melebihi cukup.
Keingin-sempurnaan yang perlahan-lahan menghakis diri
Keinginan untuk buat semua dengan sempurna boleh menjadi kelebihan, sehingga ia berubah menjadi tekanan.
Setiap kesilapan kecil terasa besar. Setiap hasil kerja yang kurang cemerlang dianggap gagal.
Akhirnya, kerja bukan lagi sekadar tanggungjawab. Ia menjadi sumber keresahan yang berpanjangan.
Tanpa disedari, minda mula letih walaupun tubuh masih bekerja.
Hidup untuk kerja
Apabila semua orang bergantung kepada diri sendiri dan anda pula tidak mampu berkata ‘tidak’, sempadan antara kerja dan kehidupan mula kabur.
Masa rehat menjadi singkat. Hujung minggu tidak benar-benar rehat. Bahkan waktu di luar pejabat pun masih dipenuhi fikiran tentang kerja yang belum selesai.
Lama-kelamaan, rutin ini menjadi normal baharu sehingga anda lupa bagaimana rasanya hidup cukup rehat dan tenang.
Menjadi cekap bukan masalah. Malah, ia satu kelebihan yang ramai orang mahukan. Namun, kelebihan itu perlu ada sempadan. – RELEVAN


