DALAM keadaan kos makanan yang semakin meningkat, pengurusan bahan mentah di dapur menjadi semakin penting.
Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), setiap usaha kecil untuk mengelakkan pembaziran mampu memberi kesan besar.
Sifar pembaziran sebenarnya bermula dari dapur kita sendiri. Berikut ialah tiga petua mudah untuk memastikan barang basah kekal segar lebih lama:
- Ikan dan ayam – asingkan ikut keperluan

Kesilapan biasa ialah menyimpan ayam atau ikan dalam kuantiti besar dan membekukannya berulang kali.
Cara yang lebih baik ialah membersihkan, memotong dan membahagikannya mengikut saiz hidangan. Simpan dalam bekas kedap udara.
Apabila ingin memasak, keluarkan hanya satu bahagian. Kaedah ini membantu mengekalkan kesegaran serta nutrisi tanpa melalui proses nyah beku secara berulang kali.
- Cili – elak cepat rosak

Cili mudah rosak jika tidak disimpan dengan betul. Mulakan dengan membuang tangkainya kerana bahagian itu mudah menjadi tempat pembiakan bakteria.
Lapik bekas dengan tisu dapur, masukkan cili, dan letakkan seulas bawang putih yang telah dikupas sebagai agen antikulat semula jadi. Pastikan tisu ditukar jika menjadi lembap.
- Daun ketumbar – penjagaan rapi seperti pokok bunga

Daun ketumbar sangat sensitif dan cepat layu. Untuk mengekalkan kesegarannya, cuci bersih dan potong sedikit pada bahagian akar.
Kemudian, rendam dalam bekas atau botol berisi sedikit air seperti menyimpan bunga dalam pasu. Cara ini dapat memastikan daun ketumbar kekal segar sehingga berminggu-minggu.
Melalui langkah mudah ini, anda bukan sahaja dapat menjimatkan wang, malah membantu mengurangkan pembaziran makanan di rumah. – RELEVAN


