SETIAP kali musim taksiran cukai tiba, ramai yang mula berasa cemas. Takut tersalah isi, terlepas tuntutan atau lebih membimbangkan, dikenakan penalti. Hakikatnya, proses e-Filing di Malaysia tidaklah serumit yang disangka jika difahami langkah demi langkah.
Berdasarkan perkongsian oleh Maybank, berikut ialah panduan lengkap untuk mengisi e-Filing bagi Tahun Taksiran (YA) 2025 dengan lebih teratur dan yakin.
Fahami dahulu sistem cukai di Malaysia
Menurut jadual yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), musim pemfailan cukai bagi YA 2025 bermula pada 1 Mac 2026.
Bagi individu yang tidak menjalankan perniagaan seperti pekerja bergaji, tarikh akhir e-Filing ialah 30 April 2026 dengan tempoh lanjutan sehingga 15 Mei 2026. Manakala bagi individu yang menjalankan perniagaan, tarikh akhirnya ialah 30 Jun 2026 dan lanjutan sehingga 15 Julai 2026.
Tarikh ini penting kerana kelewatan menghantar borang atau membuat bayaran boleh menyebabkan penalti dikenakan. Denda lewat hantar, caj tambahan lewat bayar dan penalti taksiran tambahan antara implikasi yang boleh berlaku.
Dari segi kelayakan, individu pemastautin yang mempunyai pendapatan bercukai tahunan RM10,000 dan ke atas wajib mendaftar serta memfailkan cukai.
Pendapatan bercukai merangkumi gaji, elaun, dividen, sewaan, royalti, pencen dan lain-lain bayaran berkala. Status pemastautin ditentukan berdasarkan berapa hari seseorang berada di Malaysia dalam tempoh setahun dan ia memberi kesan kepada kadar cukai serta kelayakan pelepasan.
Borang yang digunakan
Antara borang penting dalam sistem e-Filing LHDN:
- e-BE – Untuk individu berpendapatan penggajian
- e-B – Untuk individu menjalankan perniagaan
- e-M – Untuk bukan pemastautin
Memilih borang yang tepat sangat penting bagi mengelakkan kesilapan taksiran.
Langkah-langkah isi e-Filing
-
Daftar dan dapatkan TIN
Langkah pertama ialah memastikan anda mempunyai Tax Identification Number (TIN).
Menurut Maybank, bagi warganegara Malaysia dan pemastautin tetap berumur 18 tahun ke atas, TIN dijana secara automatik berdasarkan data Jabatan Pendaftaran Negara. Individu lain boleh mendaftar melalui sistem e-Daftar di portal MyTax.
TIN akan menjadi nombor rujukan rasmi anda dalam semua urusan cukai.
-
Sediakan dokumen penting
Sebelum mula mengisi e-Filing, kumpulkan dokumen berikut:
- Borang EA daripada majikan
- Resit perbelanjaan untuk tuntutan pelepasan cukai
- Penyata pendapatan tambahan (jika ada)
Maybank mengingatkan bahawa pembayar cukai perlu menyimpan rekod dan dokumen sekurang-kurangnya tujuh tahun untuk tujuan semakan oleh LHDN.
Pelepasan cukai membantu kurangkan jumlah pendapatan bercukai dan boleh merangkumi pelepasan individu, pasangan, anak, caruman KWSP atau insurans hayat serta perbelanjaan gaya hidup.
Setiap kategori ada syarat tersendiri, jadi pastikan anda simpan semua dokumen ini sekurang-kurangnya tujuh tahun untuk rujukan LHDN dan baca artikel Pelepasan cukai 2025: Senarai lengkap mengikut kategori untuk maklumat lanjut.
-
Log masuk ke portal MyTax
- Layari portal rasmi MyTax
- Pilih jenis pengenalan diri
- Log masuk menggunakan maklumat akaun
- Klik menu “ezHasil Services”
- Pilih “e-Filing”
- Pilih borang yang sesuai (contoh: e-BE YA 2025)
Sistem e-Filing direka mesra pengguna dan menyediakan panduan serta kalkulator automatik untuk membantu pengiraan.
Sebelum klik butang hantar, luangkan masa untuk menyemak semula semua maklumat yang telah diisi dengan teliti.
Sistem e-Filing biasanya membenarkan anda menyemak semula borang sebelum dihantar, sekali gus memberi peluang untuk mengesan sebarang kesilapan atau maklumat yang tertinggal.
Perhatikan butiran seperti jumlah pendapatan, pelepasan dan maklumat peribadi bagi memastikan semuanya tepat dan lengkap.
Apabila anda sudah yakin semua maklumat adalah betul, teruskan dengan penghantaran melalui sistem e-Filing. Selepas berjaya dihantar, satu resit pengesahan akan dijana sebagai bukti bahawa anda telah memenuhi tanggungjawab memfailkan cukai. Resit ini merupakan dokumen penting dan perlu disimpan untuk rujukan pada masa hadapan.
Kesilapan yang perlu dielakkan
Dalam proses memfailkan cukai, terdapat beberapa kesilapan lazim yang sering berlaku dan boleh membawa implikasi serius. Antaranya ialah kelewatan menghantar borang cukai tanpa alasan munasabah. Kesalahan ini boleh dikenakan denda antara RM200 hingga RM20,000 atau hukuman penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, kelewatan membuat bayaran cukai juga akan menyebabkan penalti dikenakan. Jika baki cukai tidak dijelaskan selepas tarikh akhir yang ditetapkan, penalti sebanyak 10 peratus akan dikenakan ke atas jumlah yang masih belum dibayar.
Kesilapan mengisi maklumat yang tidak tepat juga tidak boleh dipandang ringan. Memberikan butiran yang salah atau tidak lengkap boleh menyebabkan denda antara RM1,000 hingga RM10,000, selain penalti tambahan sehingga 200 peratus daripada jumlah cukai yang terkurang lapor.
Oleh itu, semakan teliti sebelum menghantar borang amat penting bagi mengelakkan masalah di kemudian hari. – RELEVAN


