“SEDIKIT-sedikit, lama-lama jadi bukit.”
Itu pepatah Melayu tentang pengurusan kewangan. Pendapatan kecil bukan alasan untuk tidak menabung, malah ia menjadi penguat semangat untuk terus konsisten ketika menabung. Ini kerana usaha tidak akan mengkhianati hasil.
Perunding kewangan berlesen, Dr. Adam Zubir berkata, isu sebenar berlakunya masalah kewangan berpunca daripada kegagalan mengurus duit dengan betul walaupun sudah bergaji. Tanpa pengetahuan asas dan usaha konsisten, gaji sebesar manapun boleh lesap sekelip mata.
Jika anda seorang yang sentiasa mempersoalkan ke mana duit pergi sejurus duit gaji masuk atau orang yang mula berjinak menabung, ini petanda anda perlu mengikut lima peraturan asas urus duit yang disifatkan paling minimum atau menurut kata Gen Z, ia dilabelkan sebagai “bare minimum”.
-
Sediakan bajet bulanan
Sudah berdesing telinga tiap kali meminta tip kewangan, tetapi inilah langkah paling asas yang perlu dilakukan. Bajet berfungsi sebagai peta bagi kewangan anda, sekiranya tiada arah tujuan maka duit akan dibelanjakan mengikut kata hati dan nafsu. Menerusi bajet, anda boleh menyusun strategi perbelanjaan mengikut keperluan asas seperti sewa rumah, tambang pengangkutan, makanan, bil api dan air.
-
Catat perbelanjaan harian
Ramai terkejut duit cepat habis hakikatnya segala pembelian kecil-kecilan yang makan duit setiap hari itulah punca utamanya. Melalui rekod perbelanjaan, aliran duit membantu mengawal dan mengurangkan pembaziran.
-
Urus aliran wang
Aliran wang merujuk kepada pergerakan keluar masuk wang setiap bulan. Jika aliran keluar lebih besar daripada aliran masuk, itu tanda anda akan mengalami masalah kewangan. Pastikan anda cakna dengan duit yang berbaki di akaun bank selepas semua komitmen dibayar.
-
Bina tabung kecemasan
Langkah ini paling penting dan sering dipandang remeh. Situasi tidak dijangka boleh berlaku pada kita pada bila-bila masa. Oleh itu, belum terlambat untuk mewujudkan tabung, apa yang penting adalah konsisten untuk tidak menyentuhnya kecuali pada waktu kecemasan. Boleh mulakan dengan nilai kecil dahulu jika rasa terbeban dengan kewangan anda sekarang.
-
Simpanan RM1,000 pertama
Menurut Dr. Adam membina tabiat menyimpan duit dahulu sebelum sasaran dengan jumlah lebih besar. Sekiranya tabung anda mencecah RM1,000 pertama bermakna ia membuktikan anda mampu mengurus wang. Usah menunggu gaji besar baru mula menabung, mulakan dengan apa yang ada dahulu. – RELEVAN


