TAHUN baharu membawa peluang untuk menilai semula arah kerjaya dan menetapkan sasaran yang lebih realistik. Tanpa perancangan, azam mudah kekal sebagai angan-angan.
Sama ada menyasarkan kenaikan gaji, jawatan lebih baik atau kemahiran baharu, pendekatan yang betul boleh mempercepatkan kemajuan kerjaya anda.
Menurut Business Insider, berikut empat langkah penting merangkumi gambaran besar dan tindakan praktikal yang boleh anda lakukan sekarang untuk membuka peluang kenaikan gaji atau promosi pada tahun hadapan.
-
Kemas senarai pencapaian anda
Ramai pekerja rajin bekerja tetapi gagal mendokumentasikan sumbangan masing-masing. Di sinilah pentingnya memiliki brag sheet, senarai ringkas pencapaian utama anda.
Marc Cenedella, pengasas dan CEO Ladders, menyarankan anda menulis tiga atau empat pencapaian utama bermula dari awal tahun. Simpan senarai ini dan tambah dari semasa ke semasa. Apabila tiba masa memohon kenaikan gaji, promosi atau pekerjaan baharu, anda tidak perlu lagi menggali semula e-mel lama atau bergantung pada ingatan semata-mata.
Pakar kerjaya MyPerfectResume, Jasmine Escalera berkata, brag sheet berfungsi sebagai ‘peluru’ profesional. Ia membantu anda menjawab soalan penting seperti: Apakah impak sebenar yang telah saya berikan kepada organisasi?
Pastikan pencapaian yang disenaraikan bersifat spesifik, contohnya peningkatan jualan, penjimatan kos, projek berjaya atau tanggungjawab tambahan yang anda galas.
-
Mahu dikenali di tempat kerja sebagai apa?
“Apakah nilai yang saya ada dan menjadi aset kepada syarikat?” – contoh soalan yang boleh ditanya kepada diri sendiri.
Ashley Herd, bekas Ketua HR McKinsey and Company di Amerika dan penulis buku The Manager Method, mencadangkan kita melihat semula individu yang dikagumi di tempat kerja seperti bos, rakan sekerja atau mentor.
Apakah sifat mereka yang memberi kesan? Adakah mereka ketua yang baik, mudah membantu atau cekap menyelesaikan masalah?
Daripada situ, tentukan ciri yang anda mahu orang lain kaitkan dengan diri sendiri. Lebih menarik, Herd turut menyarankan agar anda bertanya kepada rakan sekerja yang dipercayai tentang perkara yang mereka hargai apabila bekerja dengan anda.
Walaupun kedengaran janggal, maklum balas jujur ini boleh membantu anda menonjolkan kekuatan sedia ada dan memperbaiki kelemahan.
-
Tanya soalan penting dan belajar memperjuangkan diri
Ramai pekerja berasa kecewa kerana usaha mereka seolah-olah tidak disedari. Namun, sejauh mana pihak atasan benar-benar memahami beban dan tanggungjawab yang anda pikul?
Jika anda sering dibebani kerja, Ashley Herd mencadangkan anda bertanya secara reflektif. “Adakah orang lain tahu apa yang ada dalam senarai tugas saya?”
Lebih penting, fikirkan bagaimana isu itu boleh dibincangkan secara profesional dan produktif bersama ketua jabatan.
Selain itu, fikirkan juga apa yang anda inginkan pada 2026 dari segi tugasan harian, hala tuju kerjaya dan peluang perkembangan diri. Jika anda tidak menyuarakannya, besar kemungkinan peluang kenaikan pangkat atau peranan baharu akan terlepas begitu sahaja.
Memperjuangkan diri bukan bermaksud sombong tetapi memastikan sumbangan dan aspirasi anda difahami oleh pihak yang boleh membuat keputusan.
-
Audit kalendar kerja anda
Tidak semua persediaan kerjaya perlu bersifat idealistik. Ada yang bermula dengan perkara paling praktikal iaitu masa.
Mesyuarat sememangnya penting tetapi terlalu banyak mesyuarat boleh menjejaskan produktiviti. Cuba lihat semula kalendar kerja tahun lepas. Berapa mesyuarat yang penting dan berapa pula yang boleh diganti dengan satu emel ringkas?
Dalam sesetengah keadaan, anda boleh bertanya kepada pengurus atau ketua sama ada kehadiran anda diperlukan, kekerapan mesyuarat boleh dikurangkan atau maklumat boleh dikongsi melalui cara lain seperti e-mel atau laporan bertulis.
Kajian juga menunjukkan masa yang dihabiskan dalam mesyuarat cenderung meningkat dari bulan ke bulan. Jika anda berani, cadangkan satu atau dua hari tanpa mesyuarat setiap minggu untuk memberi ruang kepada kerja fokus dan strategik.
Mengejar kenaikan gaji atau pangkat bukan sekadar soal bekerja lebih keras tetapi kerja dengan lebih bijak. Dengan mendokumentasikan pencapaian, mengenali identiti profesional, berani bersuara dan mengurus masa dengan lebih berkesan, anda sebenarnya sedang menyediakan diri untuk peluang yang lebih besar. – RELEVAN

