ADAKAH anda memakai cermin mata atau kanta sentuh? Pasti ada beberapa kejadian yang membuatkan anda letih mahu bergantung kepada cermin mata atau kanta sentuh untuk melihat dengan jelas.
Belum dikira lagi situasi seperti cermin mata hilang, patah, atau perlu membeli stok kanta sentuh yang banyak.
Jika sudah bosan dan penat memakai cermin mata atau kanta sentuh, anda mungkin tertanya-tanya sama ada pembedahan laser-assisted in situ keratomileusis (LASIK) sesuai untuk anda.
Menurut Mayo Clinic, kebanyakan orang yang menjalani pembedahan LASIK mencapai penglihatan 20/20 atau lebih baik. Tetapi dalam beberapa kes, mereka masih memerlukan cermin mata untuk memandu pada waktu malam atau membaca apabila mereka semakin tua.
Pembedahan LASIK mempunyai rekod prestasi yang baik. Kebanyakan orang berpuas hati dengan hasilnya di samping kemungkinan untuk berlaku komplikasi adalah tipis.
Namun, kesan sampingan seperti mata kering dan masalah visual sementara (seperti silau), adalah perkara biasa. Kesan ini biasanya hilang selepas beberapa minggu atau bulan.
Siapa yang boleh mendapatkan pembedahan LASIK?
- Rabun dekat
Rabun dekat (miopia) adalah keadaan di mana objek berhampiran kelihatan jelas, tetapi objek lebih jauh kelihatan kabur.
Apabila bola mata anda lebih panjang sedikit daripada biasa atau apabila kornea melengkung terlalu tajam, sinaran cahaya tertumpu di hadapan retina dan mengaburkan penglihatan jauh. Anda boleh melihat objek yang lebih dekat dengan lebih jelas, tetapi bukan objek yang jauh.
- Rabun jauh
Rabun jauh (hiperopia) ialah keadaan penglihatan biasa di mana anda boleh melihat objek jauh dengan jelas, tetapi objek berdekatan mungkin kelihatan kabur.
Apabila anda mempunyai bola mata yang lebih pendek daripada biasa atau kornea yang terlalu rata, cahaya memfokus di belakang retina dan bukan di atas retina. Ini mengaburkan penglihatan dekat dan kadangkala penglihatan jauh.
- Astigmastisme
Astigmatisme menyebabkan keseluruhan penglihatan kabur. Apabila kelengkungan (curvature) kornea tidak sama di seluruh kornea, hasilnya adalah astigmatisme yang mengganggu tumpuan penglihatan dekat dan jauh.
Secara tradisinya, penglihatan kabur dibetulkan dengan membiaskan sinaran cahaya dengan cermin mata atau kanta sentuh. Tetapi pembentukan semula kornea itu sendiri juga boleh memberikan pembiasan dan pembetulan penglihatan yang diperlukan. Kornea ialah tisu lutsinar berbentuk kubah di hadapan mata anda.
Prosedur LASIK
Sebelum prosedur LASIK, pakar bedah mata akan mengambil ukuran terperinci bebola mata dan memeriksa kesihatan keseluruhan mata. Anda mungkin diberitahu untuk mengambil ubat penenang ringan sejurus sebelum prosedur (terpulang kepada nasihat doktor).
Selepas anda berbaring dengan selesa di atas meja pembedahan, titisan yang boleh menyebabkan kebas pada sekitar mata akan diberikan.
Kemudian, pakar bedah akan menggunakan jenis laser pemotongan khas untuk mengukir kelengkungan kornea dengan tepat.
Dengan setiap nadi pancaran laser, sejumlah kecil tisu kornea dikeluarkan. Ini membolehkan pakar bedah mata anda meratakan lengkung kornea atau menjadikannya lebih curam.
Pembedahan LASIK melibatkan penciptaan flap kornea yang diangkat sebelum membentuk semula kornea. Terdapat jenis pembedahan laser refraktif lain yang mungkin tidak menggunakan flap. Setiap teknik mempunyai kelebihan dan kekurangan.
Pakar bedah mata tertentu mungkin pakar dalam jenis prosedur mata laser tertentu. Perbezaan di antara mereka biasanya kecil sahaja.
Sesetengah pakar bedah merasakan membuat flap dalam LASIK menimbulkan risiko lebih tinggi sedikit berbanding prosedur yang tidak melibatkan flap. – RELEVAN