SETIAP kali mata terasa pedih atau mudah letih, ramai menyalahkan penggunaan telefon pintar. Ada benarnya, pendedahan kepada skrin untuk tempoh yang lama boleh menyumbang kepada masalah mata kering.
Namun, pakar mata dari Agarwals Eye Hospital menjelaskan bahawa penggunaan gajet hanyalah salah satu faktor yang boleh menyebabkan keadaan tersebut berlaku.
Kelenjar kelopak mata tidak berfungsi dengan baik
Salah satu punca yang sering terlepas pandang ialah masalah Meibomian Gland Dysfunction (MGD). Kelenjar yang terletak pada bahagian tepi kelopak mata ini menghasilkan lapisan minyak yang membantu menghalang air mata daripada menyejat terlalu cepat.
Apabila kelenjar tersebut tersumbat atau tidak berfungsi dengan baik, air mata akan lebih mudah tersejat, sekali gus menyebabkan mata menjadi kering dan tidak selesa.
Mereka yang mengalami masalah ini biasanya mengadu mata cepat letih, penglihatan tidak selesa terutamanya ketika berada dalam bilik berhawa dingin.
Perubahan hormon turut mempengaruhi kesihatan mata
Golongan wanita, khususnya selepas menopaus, lebih berisiko mengalami masalah mata kering.
Perubahan hormon seperti penurunan tahap estrogen dan androgen boleh menjejaskan penghasilan air mata serta fungsi kelenjar Meibomian.
Akibatnya, keseimbangan lapisan pelindung mata terganggu dan mata menjadi lebih mudah mengalami kekeringan.
Penyakit diabetes boleh menjadi penyumbang
Ramai tidak menyedari bahawa penyakit diabetes juga boleh menjejaskan kesihatan mata. Paras gula darah yang tidak terkawal boleh merosakkan saraf yang terlibat dalam penghasilan air mata serta menjejaskan kualiti lapisan air mata. Justeru, mata berasa cepat kering.
Faktor persekitaran
Persekitaran harian juga memainkan peranan penting dalam kesihatan mata. Antara faktor yang boleh mempercepatkan penyejatan air mata ialah:
- Penggunaan penghawa dingin secara berterusan
- Pencemaran udara
- Pendedahan kepada habuk dan asap
- Penggunaan kanta lekap untuk tempoh yang lama
Pemakanan tidak seimbang
Kekurangan vitamin A boleh menjejaskan kesihatan permukaan mata dan menyebabkan masalah kekeringan yang lebih serius.
Selain itu, pengambilan asid lemak omega-3 yang rendah juga dipercayai boleh menyumbang kepada keradangan serta gangguan fungsi air mata.
Sumber makanan yang baik untuk kesihatan mata termasuk:
- Ikan berlemak seperti salmon, sardin dan kembung
- Kacang walnut
- Biji rami (flaxseed)
- Sayuran hijau
- Buah-buahan berwarna oren dan kuning yang kaya vitamin A
Jika simptom seperti mata pedih, berpasir, merah atau berair berlebihan berlarutan dalam tempoh yang lama, pemeriksaan lanjut oleh pakar mata adalah penting bagi mengenal pasti punca sebenar dan mendapatkan rawatan yang sesuai. – RELEVAN


