VIDEO-VIDEO yang dikongsikan di media sosial mengenai jangkitan rabies atau anjing gila sangat menyeramkan apabila pesakit dilihat berada dalam keadaan meracau, bertindak liar dan takut kepada air.
Menurut Mayo Clinic, rabies adalah virus maut yang disebarkan kepada manusia menerusi gigitan (air liur) haiwan yang dijangkiti.
Penyakit rabies adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan lyssavirus dari haiwan seperti anjing yang dijangkiti rabies.
Dalam kes yang jarang berlaku, rabies boleh merebak apabila air liur yang dijangkiti masuk ke dalam luka terbuka atau membran mukus seperti mulut atau mata. Ini boleh berlaku jika haiwan yang dijangkiti menjilat luka anda.
Berikut Relevan kongsikan langkah pencegahan, simptom dan haiwan-haiwan yang mungkin boleh menyebarkan virus rabies.
Hati-hati jika ternampak anjing liar yang air liurnya meleleh dengan banyak, itu tanda-tanda anjing tersebut dijangkiti virus rabies.
Sebenarnya, anjing bukanlah satu-satunya haiwan yang boleh menyebarkan rabies. Haiwan peliharaan dan ternakan yang lain juga berisiko menyebarkan rabies seperti kucing, lembu, kambing dan kuda.
Selain itu, haiwan liar seperti kelawar, memerang, koyote, musang, monyet, rakun dan skunk juga boleh menyebarkan rabies kepada manusia.
Simptom
Mereka yang dijangkiti oleh virus rabies mengalami gejala serupa dengan selesema dan diikuti oleh simptom-simptom lain seperti berikut:
- Demam
- Sakit kepala
- Loya
- Muntah-muntah
- Kegelisahan
- Kebimbangan
- Kekeliruan
- Hiperaktif
- Kesukaran menelan
- Air liur yang berlebihan
- Ketakutan yang ditimbulkan oleh percubaan untuk meminum cecair kerana kesukaran menelan air
- Ketakutan yang dibawa oleh udara yang ditiup di muka
- Halusinasi
- Insomnia
- Lumpuh separa
Sehubungan itu, sangat penting untuk berjumpa doktor dengan segera jika anda digigit haiwan lair atau haiwan yang disyaki mempunyai gejala rabies. Doktor yang bertugas akan membantu untuk memberikan rawatan sewajarnya.
Sebelum itu, pastikan anda mencuci bahagian tubuh yang digigit dengan sabun dan air bagi menghilangkan air liur haiwan tersebut.
Pencegahan
Penyakit rabies ini tidak boleh dipandang remeh, kita perlu sentiasa mengamalkan sikap berhati-hati terutamanya terjumpa haiwan liar. Tengok keadaan haiwan itu terlebih dahulu.
Jika haiwan tersebut bertindak agresif, ganas dan mengeluarkan air liur yang banyak. Lari!
Bagi pemilik haiwan peliharaan pula, anda boleh menyelamatkannya daripada virus rabies dengan melakukan langkah-langkah berikut:
- Dapatkan nasihat doktor untuk memberi vaksin rabies kepada haiwan peliharaan anda.
- Pastikan haiwan kesayangan tidak dibiarkan berkeliaran di luar bagi mengelakkannya daripada bersentuhan dengan haiwan liar.
– RELEVAN