SEBELUM ini, Relevan telah kongsikan penjelasan tentang apa itu talasemia dan jenis-jenisnya. Dalam artikel kali ini, Relevan menerangkan pula mengapa mengapa pasangan yang disyaki sebagai pembawa talasemia tidak boleh bersama
Jika kedua-dua pasangan merupakan pembawa talasemia beta, bayi mereka boleh mewarisi gen talasemia beta daripada mereka berdua. Ini adalah keadaan talasemia utama yang paling biasa dan serius.
Terdapat pelbagai jenis talasemia major. Bayi boleh mewarisi keadaan hemoglobin yang berbeza jika seorang ibu bapa adalah pembawa talasemia beta dan ibu bapa yang lain membawa jenis gen talasemia yang berbeza atau gen hemoglobin yang luar biasa.
Pakar kesihatan akan membincangkan perkara ini supaya anda memahami dengan tepat keadaan yang boleh diwarisi oleh bayi dan kesan-kesannya.
Mempunyai sifat talasemia bermakna anda mungkin tidak mempunyai sebarang gejala, tetapi anda mungkin mewariskan sifat tersebut kepada anak-anak dan meningkatkan risiko mereka untuk menghidap talasemia.
Potensi untuk anak menghidap talasemia major
Jika ibu dan bapa kepada bayi anda adalah pembawa, maka terdapat kemungkinan sebanyak 25 peratus bayi tersebut boleh mewarisi talasemia major. Terdapat kemungkinan sebanyak 50 peratus bayi tersebut juga akan menjadi pembawa.
Tetapi, wujud juga kemungkinan sebanyak 25 peratus bayi anda akan mempunyai hemoglobin biasa. Peluang ini adalah sama dalam setiap kehamilan apabila kedua-dua ibu bapa merupakan pembawa.
Rajah yang dipetik daripada Gov.UK di bawah menunjukkan cara pewarisan genetik berfungsi. Kedua-dua ibu bapa dalam rajah ini adalah pembawa. Mereka dilukis dalam 2 warna untuk menunjukkan mereka mempunyai satu gen hemoglobin biasa (hijau) dan satu gen luar biasa (biru).
Apakah kesannya jika bayi dikatakan menghidap talasemia major?
Kanak-kanak yang menghidap talasemia major tidak dapat menghasilkan hemoglobin yang mencukupi dalam darah. Ini bermakna mereka mempunyai anemia yang seruius dan memerlukan pemindahan darah yang kerap. Mereka juga mengalami pembentukan tulang yang tidak normal dan berlaku pembesaran luar biasa pada limpa.
Simptom atau kesan lain bagi bayi yang menghidap talasemia major ialah seperti berikut:
- kulit pucat terutamanya di tapak tangan, kuku dan lapisan kelopak mata
- keletihan
- sesak nafas
- degupan jantung yang laju
Rawatan talasemia major
Jika anak anda menghidap talasemia major, mereka akan dapat menjalani kehidupan normal dengan rawatan yang berterusan sepanjang hayat. Rawatan melibatkan pemindahan darah secara berkala untuk meningkatkan tahap hemoglobin dalam darah.
Walau bagaimanapun, pemindahan darah boleh menyebabkan terlebih zat besi disebabkan pengumpulan zat besi dalam darah. Jika kandungan zat besi melebihi paras normal, ia boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius, termasuk diabetes, kegagalan jantung dan penyakit hati.
Pada masa ini, pemindahan sumsum tulang adalah satu-satunya peluang untuk menyembuhkan talasemia major, tetapi risikonya pula sangat tinggi. Peluang untuk mencari penderma yang serasi adalah kira-kira 30 peratus dan kebanyakan penderma yang bersesuaian hanya dalam kalangan ahli keluarga atau adik-beradik.
Keberkesanan pembedahan ini lebih cenderung kepada kanak-kanak yang tidak mengalami kelebihan zat besi, tetapi komplikasi pembedahan atau kematian sentiasa menjadi sebahagaian daripada risiko prosedur.
Risiko yang terlibat bermakna pemindahan sumsum tulang bukanlah penyelesaian untuk sesetengah keluarga, terutamanya bagi menjamin kanak-kanak yang menghidap talasemia major mampu menjalani kehidupan yang normal adalah hanya dengan rawatan tetap untuk seumur hidup.
Sekiranya kedua-dua pasangan masih mahu berkahwin, dapatkan nasihat pakar untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik. – RELEVAN