RAMAI yang bergantung kepada kad kredit untuk membayar segala komitmen dan keperluan hidup disebabkan kekurangan wang tunai.
Tetapi, tahukah anda cara ini hanya menyelesaikan masalah dalam jangka masa pendek tetapi akan memberi masalah yang lebih besar pada masa akan datang?
Terlalu banyak hutang kad kredit boleh menyebabkan pembayaran faedah mencecah ribuan ringgit. Selain itu, matlamat kewangan seperti simpanan untuk hari tua juga tertangguh. Hutang kad kredit yang terlalu banyak juga mungkin merosakkan skor kredit anda.
Namun, hutang kad kredit boleh dielakkan, selagi anda mengekalkan tabiat perbelanjaan yang baik dan pembayaran semula pada waktu yang ditetapkan boleh mengelakkan daripada lambakan masalah yang lebih besar dalam kehidupan.
Ikuti 7 cara berikut untuk mengelakkan hutang kad kredit seperti yang dikongsikan oleh The Balance.
- Bina dana kecemasan yang kukuh
Bagi individu yang tidak mempunyai dana kecemasan, kad kredit mungkin satu-satunya pilihan sebagai penyelamat dalam situasi genting seperti membaiki kereta, bil perubatan atau perbelanjaan di luar jangkaan. Tetapi, cara ini kurang digalakkan.
Sebaliknya, bina dana kecemasan yang kukuh walaupun mungkin mengambil masa yang lama. Tidak mengapa kerana sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.
Mulakan dengan jumlah kecil mengikut kemampuan masing-masing. Contohnya, sebagai permulaan, mulakan dengan menyimpan RM200 dalam tabung kecemasan. Pada bulan-bulan akan datang boleh tingkatkan jumlah sekiranya mampu.
Dengan dana kecemasan, ia boleh membantu menampung perbelanjaan yang tidak dirancang tanpa perlu bergantung dan berhutang kad kredit. Kebanyakan penasihat kewangan mengingatkan supaya tidak sesekali bergantung dengan hutang untuk menyelesaikan hutang.
- Hidup di bawah kemampuan
Hidup berdampingan dengan kad kredit berpotensi membuatkan kita mudah tergoda untuk membeli barangan mewah. Walaupun bermuhasabah diri dengan berkata anda mampu untuk membayarnya dari semasa ke semasa, tetapi ia sangat berisiko.
Hal ini kerana kita tidak dapat menjangka apa yang akan jadi pada masa hadapan. Sekiranya betul-betul mempunyai keinginan untuk membeli barangan berjenama, amalkan tabiat yang lebih baik iaitu dengan menyimpan wang sehingga mencukupi untuk membeli barang yang diingini.
ARTIKEL BERKAITAN: Hutang baik dan hutang buruk: Apa yang anda perlu tahu?
- Fahamkan terma kad kredit dengan teliti
Perjanjian kad kredit menerangkan semua yang anda perlu tahu tentang penggunaan kad kredit. Ia termasuk cara faedah akan dikenakan, jumlah yuran yang akan dicaj, bila anda akan dicaj dan sebarang situasi yang boleh menyebabkan peningkatan bayaran.
Memahami ciri kad kredit boleh membantu mengelakkan hutang kad kredit kerana anda faham apa yang akan membuatkan caj penggunaan kad kredit lebih mahal.
- Bayar pada tempoh yang ditetapkan
Disiplin dalam pembayaran kad kredit adalah salah satu cara terbaik untuk mengelakkan daripada hutang kad kredit menimbun.
Sebaik sahaja anda terlepas pembayaran, bayaran yang perlu dibayar seterusnya akan menjadi lebih tinggi kerana perlu membuat dua pembayaran. Ia menjadi lebih sukar untuk bayar pada tempoh yang ditetapkan kerana hutang sudah berganda dan seterusnya akan menjadi lebih terbeban.
ARTIKEL BERKAITAN: Kepentingan jaga nilai kredit peribadi
- Elakkan pendahuluan tunai pada kad kredit
Dalam saat terdesak, anda mungkin terfikir untuk mengeluarkan pendahuluan tunai pada kad kredit.
Walau bagaimanapun, ini adalah salah satu transaksi kad kredit paling mahal dengan yuran transaksi, kadar faedah yang lebih tinggi dan tiada tempoh tangguh untuk mengelakkan caj kewangan. Perkara ini hanya akan menambah beban hutang yang sedia ada.
- Hadkan bilangan kad kredit
Lebih banyak kad kredit yang anda ada, lebih besar besar timbunan hutang kelak. Walaupun mampu mengawal nafsu berbelanja, adalah lebih baik untuk tidak mudah ‘goyang’ dengan baki ribuan ringgit dalam kredit sedia ada.
Mengurangkan bilangan kad kredit dalam dompet bukan sahaja membantu mengelakkan hutang kad kredit, ia juga memudahkan pengurusan bil bulanan.
- Periksa baki hutang kad kredit dengan kerap
Sentiasa periksa transaksi kad kredit supaya tidak terlebih berbelanja. Jika anda mendapati baki kad kredit terlalu tinggi untuk membayar sepenuhnya, ini menandakan anda telah terlebih berbelanja menggunakan kad kredit. Kawal dan kurangkan perbelanjaan untuk mengelakkan hutang semakin meningkat. – RELEVAN