SEBANYAK 24,316 kes baharu jangkitan Covid-19 dicatatkan semalam berbanding 2,491 kes kelmarin.
Pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia pada ketika ini ialah sebanyak 4,079,242 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kategori 1 mencatatkan sebanyak 13,299 kes atau 54.69 peratus manakala sebanyak 10,865 kes atau 44.68 peratus didiagnosis dalam kategori 2.
Jelas beliau, kategori 3 pula mencatatkan sebanyak 75 kes (0.31 peratus), 32 kes (0.13 peratus) dalam kategori 4 dan 45 kes (0.19 peratus) bagi kategori 5.
Semalam juga mencatatkan sebanyak 25,512 kes sembuh, menjadikan jumlah terkumpul kesembuhan adalah sebanyak 3,796,975 kes.
Dalam pada itu, menurut data laman web CovidNow, semalam juga mencatatkan 64 kematian dengan 18 daripadanya merupakan kematian sebelum tiba di hospital (BID).
Sekali gus, menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 setakat semalam adalah sebanyak 34,664 kematian manakala jumlah terkumpul BID sebanyak 7,302 kes.
Jumlah kes aktif Covid-19 di Malaysia pada ketika ini ialah sebanyak 247,603 dengan 239,934 atau 96.9 peratus pesakit menjalani kuarantin di rumah dan 1,329 kes atau 0.5 peratus di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
Sebanyak 6,019 atau 2.4 peratus pesakit dirawat di hospital, 127 atau 0.1 peratus berada di unit rawatan rapi (ICU) tanpa alat bantuan pernafasan dan 194 atau 0.1 peratus lagi di ICU dengan alat bantuan pernafasan. – RELEVAN