PASUKAN saintis dari Thailand telah membangunkan semburan hidung anti Covid-19 yang dikatakan mampu mencegah jangkitan koronavirus.
Dalam kajian yang menggunakan haiwan makmal itu menunjukkan semburan hidung tersebut berjaya menghalang virus daripada memasuki badan.
Semburan itu dilihat sebagai alternatif terbaik dalam mencegah jangkitan Covid-19 dan merupakan berita baik kepada masyarakat di seluruh dunia. Ia dijangka tersedia kepada orang awam pada akhir tahun ini.
Produk anti Covid-19 itu dibangunkan bersama Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan, Universiti Silpakorn, Universiti Chulalongkorn, Pertubuhan Farmaseutikal Kerajaan dan organisasi biosains swasta yang tidak dinamakan.
Sekumpulan penyelidik itu telah menjalankan kajian menghasilkan semburan tersebut sejak awal pandemik Covid-19 yang kini sudah memasuki tahun kedua.
Projek pembangunan semburan tersebut mendapat pembiayaan daripada sektor perniagaan dan Institut Penyelidikan Perkhidmatan Manusia (HSRI) yang dikendalikan oleh pihak kerajaan.
Menurut Dekan Fakulti Perubatan di Universiti Chulalongkorn, Dr. Chanchai Sittipunt, semburan itu dijangka sedia dijual pada suku ketiga tahun ini.
“Kami menghasilkannya berdasarkan kajian terdahulu yang menggunakan antibodi monoklonal yang dikumpulkan daripada pesakit Covid-19 yang telah pulih
“Semburan hidung ini terbukti mampu menghalang koranavirus daripada memasuki badan,” katanya.
Ciptaan itu diserahkan kepada sektor komersial yang menjalankan kajian perubatan bagi memenuhi kriteria yang diperlukan untuk pendaftaran dengan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA).- RELEVAN