PETALING JAYA: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan Little Caliph International Sdn. Bhd., untuk menjalin kerjasama dua hala antara universiti itu dengan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) tersebut.
Jalinan kerjasama itu bertujuan untuk melaksanakan program Akademik Mod 2u2i dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak.
Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff, kerjasama antara UPSI dan Little Caliph akan mewujudkan perkongsian pintar dari aspek pengetahuan, kemahiran, pengalaman dan kepakaran bagi bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak.
“MOU ini sejajar dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk merealisasikan misi dan visi negara dalam melahirkan modal insan cemerlang secara holistik dan memperkasakan kualiti program akademik Pendidikan Awal Kanak-Kanak di UPSI sebagai hab Pendidikan Awal Kanak-Kanak Negara dalam menyediakan pedagogi yang seiring dengan keperluan semasa.
“Program ini mengguna pakai kaedah pengajaran dan pembelajaran berteraskan work based learning yang memberi peluang kepada pelajar untuk merasai pengalaman pekerjaan sebenar industri dalam bidang yang mereka terokai,” katanya ketika berucap di majlis menandatangani dokumen perjanjian di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, Tanjong Malim, Perak semalam.
Jelasnya, dengan termeterainya perjanjian ini, sekali gus menjadi pemangkin yang berupaya menghimpunkan ahli akademik dan ahli industri bagi memulakan projek atau kerjasama yang berbentuk domestik serta antarabangsa.
“Bukan itu saja, melalui program ini diharapkan bakal melahirkan graduan yang berkemahiran dan berketrampilan untuk membimbing, mendidik dan mengasuh kanak-kanak,” ujarnya.- RELEVAN