BEKERJA dari pukul 9 pagi hingga lewat petang sudah menjadi rutin setiap hari sehingga kadang-kala membuatkan badan terasa lesu dan tidak bermaya.
Kehidupan seolah-olah berulang dalam kitaran yang sama – bangun pagi, bekerja sepanjang hari, pulang ke rumah, tidur dan mengulangi rutin sama keesokan harinya. Ada yang merasakan mereka seperti robot kerana sebahagian besar masa dihabiskan untuk memenuhi tuntutan kerja.
Ditambah pula dengan lambakan kandungan di media sosial yang memaparkan gaya hidup usahawan berjaya, bekerja dari mana-mana lokasi atau menjana pendapatan lumayan melalui perniagaan sendiri, ramai mula mempersoalkan sama ada pekerjaan tetap 9 hingga 5 masih relevan.
Hakikatnya, memiliki pekerjaan yang stabil tidak ketinggalan zaman. Dengan pendekatan yang betul, pekerjaan tetap boleh menjadi sumber keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi secara lebih bermakna.
Menurut Talent Labs, berikut merupakan cara menikmati pekerjaan 9 hingga 5.
Hargai kestabilan yang dimiliki
Media sosial sering menggambarkan seolah-olah kejayaan hanya boleh dicapai dengan meninggalkan pekerjaan tetap dan membina perniagaan sendiri.
Namun, mempunyai pendapatan bulanan tetap, cuti tahunan, perlindungan kesihatan dan masa rehat sebenarnya merupakan satu kelebihan yang tidak dimiliki semua orang.
Kestabilan kewangan memberikan ketenangan jiwa dan membolehkan seseorang merancang masa depan dengan lebih baik. Oleh itu, jangan memandang rendah nilai sebuah pekerjaan yang stabil.
Cari aktiviti di luar rumah dan tempat kerja
Jika rutin harian hanya berkisarkan rumah dan pejabat, sesiapa sahaja boleh berasa penat dan jemu. Oleh sebab itu, penting untuk mempunyai “ruang ketiga” iaitu tempat atau aktiviti selain rumah dan tempat kerja.
Menyertai kelab badminton, kumpulan larian, kelas kecergasan, aktiviti sukarelawan atau sekadar meluangkan masa di kafe kegemaran boleh membantu menyegarkan minda.
Aktiviti seperti ini memberikan peluang untuk berinteraksi dengan orang lain dan menghiburkan rutin harian.
Cipta suasana kerja yang menyeronokkan
Kita menghabiskan kira-kira 40 jam seminggu di tempat kerja. Oleh itu, tidak salah untuk menjadikan ruang kerja lebih selesa dan menggembirakan.
Gayakan pakaian yang membuatkan anda lebih yakin atau susun meja kerja mengikut cita rasa sendiri. Perkara kecil seperti ini mungkin nampak remeh, tetapi ia mampu mempengaruhi emosi dan motivasi sepanjang hari.
Habiskan masa luar waktu bekerja sebaiknya
Ramai yang merasakan pekerjaan menguasai seluruh kehidupan sehingga masa untuk diri sendiri semakin terhad. Namun hakikatnya, waktu bekerja hanyalah sebahagian daripada 24 jam setiap hari.
Justeru, manfaatkan masa sebelum dan selepas bekerja dengan melakukan perkara yang memberi ketenangan serta kegembiraan kepada diri.
Mulakan pagi dengan aktiviti yang menyegarkan seperti bersarapan dengan tenang, bersenam ringan atau membaca. Selepas tamat waktu kerja pula, luangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan, menjalankan hobi atau berehat tanpa gangguan urusan pejabat.
Beri ganjaran kecil kepada diri sendiri
Jangan hanya menunggu cuti panjang atau percutian tahunan untuk berasa gembira. Sebaliknya, cipta perkara kecil yang boleh dinantikan setiap minggu seperti menonton episod baharu drama kegemaran atau membeli makanan kegemaran. Ganjaran kecil seperti ini mampu menjadikan kehidupan lebih menyeronokkan.
Jadi rakan sekerja yang positif
Persekitaran kerja yang baik tidak terbentuk dengan sendiri. Ia bermula daripada sikap individu yang berada di dalamnya.
Jika mahukan suasana kerja yang lebih mesra, mulakan dengan bertanya khabar rakan sekerja atau menawarkan bantuan apabila diperlukan.
Senyuman, penghargaan dan komunikasi yang baik mampu mewujudkan suasana kerja lebih positif dan menyenangkan untuk semua.
Kerja hanyalah sebahagian daripada kehidupan
Ramai yang terperangkap dalam pemikiran bahawa identiti mereka bergantung sepenuhnya kepada pekerjaan. Hakikatnya, pekerjaan hanyalah salah satu aspek dalam kehidupan.
Kerjaya penting sebagai sumber pendapatan dan pembangunan diri. Namun, kehidupan juga perlu diisi dengan keluarga, persahabatan, hobi serta pengalaman yang memberi makna.
Apabila keseimbangan ini berjaya dicapai, pekerjaan 9 hingga 5 tidak lagi terasa membebankan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada kehidupan yang lebih memuaskan. – RELEVAN


