ZON selesa sering disalah tafsir sebagai keadaan yang stabil dan selamat. Hakikatnya, terlalu lama selesa boleh menyebabkan perkembangan diri terbantut tanpa disedari.
Ia tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya perlahan-lahan sehingga akhirnya sedar bahawa diri masih berada di tahap yang sama, sedangkan orang lain sudah jauh ke hadapan.
Berikut lima tanda anda mungkin sudah berada dalam zon selesa yang berbahaya.
-
Tiada lagi cabaran baharu dalam kerja harian
Jika rutin kerja anda hari ini hampir sama seperti enam bulan atau setahun lalu tanpa sebarang perkembangan tugasan, itu satu isyarat awal.
Anda mungkin sudah tidak diberi projek baharu, tidak terlibat dalam perkara yang lebih mencabar atau tidak lagi keluar daripada tugas asas yang sama.
Walaupun ia nampak senang, keadaan ini secara perlahan mengurangkan peluang anda untuk belajar kemahiran baharu.
-
Anda tidak lagi rasa perlu belajar perkara baharu
Satu tanda yang lebih halus ialah apabila anda mula rasa mahir dalam pekerjaan itu.
Anda tidak lagi mengikuti perkembangan industri, tidak mencari kemahiran tambahan atau tidak berminat untuk meningkatkan keupayaan diri walaupun ada peluang.
Apabila rasa ingin belajar semakin pudar, perkembangan kerjaya biasanya turut perlahan.
-
Anda hanya buat apa yang diminta, tidak lebih
Kerja siap dengan sempurna tetapi tiada usaha tambahan. Tiada inisiatif, tiada cadangan penambahbaikan dan tiada usaha untuk melihat gambaran lebih besar.
Pada tahap ini, kerja menjadi sekadar mahu menyelesaikannya, bukan lagi ruang untuk berkembang.
Majikan atau organisasi mungkin masih melihat anda sebagai boleh dipercayai tetapi bukan sebagai individu yang bersedia untuk naik ke tahap seterusnya.
-
Anda sudah tidak tertekan dengan kerja
Sedikit tekanan sebenarnya penting untuk perkembangan. Ia menandakan anda sedang mencabar diri.
Namun apabila anda tidak lagi rasa perlu keluar dari rutin atau langsung tidak rasa tertekan apabila rutin harian masih sama dan berulang, itu tanda anda terlalu selesa.
Keselesaan ini nampak tenang tetapi ia boleh menjadi penghalang kepada kemajuan jangka panjang.
-
Anda kurang memikirkan masa depan kerjaya
Bila zon selesa terlalu lama dibiarkan, rutin harian mula beroperasi seperti autopilot tanpa apa-apa perubahan.
Anda tidak lagi memikirkan hala tuju lima tahun akan datang, tidak merancang peningkatan gaji dan tidak mempertimbangkan laluan kerjaya lain.
Hari-hari hanya berulang tanpa strategi jangka panjang. Lama kelamaan, hari bertukar kepada minggu dan akhirnya bertahun.
Zon selesa tidak semestinya sesuatu yang buruk, ia boleh menjadi tanda kestabilan. Namun, apabila ia mula menghalang pertumbuhan, ia berpotensi menjadi ancaman dan penghalang kepada perkembangan kerjaya.
Perubahan tidak semestinya besar. Kadang-kadang ia bermula dengan satu perkara kecil. Ambil tugasan baharu, belajar satu kemahiran atau mula bertanya “apa langkah seterusnya untuk saya?”
Dalam kerjaya, ancaman sebenar bukan tekanan tetapi apabila tiada lagi ruang untuk berkembang. – RELEVAN


