APA yang pada awalnya kelihatan seperti demam biasa sebenarnya boleh mengancam nyawa dalam tempoh yang singkat. Baru-baru ini, dunia dikejutkan dengan kewujudan virus Hantavirus.
Virus ini bermula dengan gejala ringan seperti demam, sakit badan dan keletihan seakan-akan selesema bermusim. Namun dalam sesetengah kes, keadaan boleh menjadi semakin serius apabila paru-paru mula terjejas.
Menerusi laporan oleh The Times of India, pakar perubatan paru-paru, Dr. Arjun Khanna berkata, ramai pesakit tidak menyedari bahaya penyakit ini kerana simptom awalnya kelihatan seperti jangkitan biasa.
Tanda awal Hantavirus
- Demam
- Sakit kepala
- Sakit otot dan badan
- Loya
- Lemah dan tidak bermaya
- Keletihan melampau
Gejala ini muncul beberapa hari selepas seseorang terdedah kepada persekitaran yang tercemar dengan najis, air kencing atau air liur tikus yang dijangkiti virus.
Kesesakan nafas boleh berlaku secara tiba-tiba
Apa yang membimbangkan, keadaan pesakit boleh merosot dengan cepat apabila virus mula menyerang paru-paru. Dalam tempoh pendek, pesakit mungkin mengalami:
- Sesak nafas yang semakin teruk
- Nafas menjadi laju
- Degupan jantung meningkat
- Bibir kebiruan akibat kekurangan oksigen
- Paras oksigen menurun secara mendadak
Doktor menjelaskan Hantavirus tidak menyerang paru-paru seperti keradangan paru-paru biasa. Sebaliknya, virus ini merosakkan lapisan saluran darah kecil dalam paru-paru sehingga menyebabkan saluran tersebut menjadi bocor.
Paru-paru berpotensi ‘dipenuhi air’
Apabila saluran darah bocor, cecair mula memasuki kantung udara kecil dalam paru-paru yang dikenali sebagai ‘alveoli’. Dalam situasi ini, ruang udara yang sepatutnya digunakan untuk pertukaran oksigen dipenuhi cecair, menyebabkan pesakit sukar bernafas dan paru-paru seolah-olah lemas dari dalam.
Pakar menyifatkan keadaan ini sebagai tanda utama penyakit Hantavirus atau Hantavirus Pulmonary Syndrome (HPS), iaitu kesan akibat jangkitan Hantavirus.
Risiko kematian tinggi jika rawatan lewat
Menurut Dr. Khanna, kes Hantavirus yang melibatkan sistem pernafasan mempunyai risiko kematian yang tinggi sekiranya diagnosis dan rawatan intensif lewat diberikan.
Dalam kes yang lebih serius, penyakit ini boleh menjejaskan fungsi jantung sehingga menyebabkan tekanan darah jatuh secara mendadak dan kegagalan peredaran darah.
Ketika ini, tiada rawatan antivirus khusus untuk Hantavirus. Rawatan lebih tertumpu kepada pengesanan awal, bantuan oksigen, rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan penggunaan alat bantuan pernafasan jika perlu.
Elak terdedah kepada kawasan tercemar tikus
Hantavirus merebak melalui partikel halus yang tercemar dengan najis atau air kencing tikus dijangkiti, terutama di kawasan berdebu dan tertutup seperti:
- Stor lama
- Gudang
- Bangsal
- Kabin atau ruang tertutup
- Kawasan yang mempunyai masalah tikus perosak
Orang ramai dinasihatkan memakai pelitup muka dan sarung tangan ketika membersihkan kawasan berdebu atau tempat yang dipercayai tercemar bagi mengurangkan risiko jangkitan. – RELEVAN


