DI sebalik kegembiraan menerima bonus daripada syarikat, persoalan penting yang perlu ditanya pada sendiri adalah langkah terbaik untuk menguruskan wang bonus itu
Menurut perancang kewangan berlesen, Dr. Adam Zubir, bonus merupakan peluang keemasan untuk memperbaiki kedudukan kewangan.
Beliau menekankan bahawa ada tiga tindakan penting yang boleh dipertimbangkan untuk memastikan duit bonus dimanfaatkan dengan sebaiknya.
-
Selesaikan hutang sedia ada dahulu
Langkah bijak selepas menerima bonus ialah menyelesaikan hutang dengan kadar faedah tinggi seperti kad kredit atau pinjaman peribadi.
“Selagi hutang belum selesai, sebahagian pendapatan masa depan anda telah dicuri oleh hutang yang telah anda buat.
“Apabila melangsaikan hutang lebih awal, ia membantu mengurangkan beban kewangan dan meningkatkan aliran tunai pada bulan seterusnya,” katanya sambil menambah, wang yang sepatutnya digunakan untuk membayar komitmen hutang boleh dialihkan kepada simpanan atau pelaburan.
Secara tidak langsung, tekanan kewangan akan lebih rendah dan hidup menjadi lebih tenang.
-
Tampung komitmen keperluan
Selepas hutang diselesaikan, anda boleh menggunakan bonus untuk menampung keperluan asas yang mungkin selama ini tertangguh.
“Hakikatnya, ada orang bukan tidak cukup duit, tetapi hidupnya sentiasa dikejar komitmen. Gaji masuk tapi tidak mampu bertahan lama kerana menanggung komitmen hidup yang tinggi dan kitaran itu berulang tanpa henti,” katanya.
Beliau berkata, bonus harus digunakan untuk perkara penting seperti keperluan keluarga, perbelanjaan anak-anak, atau keperluan rumah tangga.
Walaupun kesannya mungkin tidak terasa secara mendadak, namun ia mampu memberi ruang bernafas kepada kewangan anda.
-
Asingkan simpanan dan kehendak
Menerusi perkongsian Dr. Adam, konsep “pay yourself first” penting dalam mengurus duit bonus.
“Asingkan dahulu sebahagian untuk tabung simpanan sebelum membelanjakan selebihnya untuk reward (ganjaran) diri.
“Tidak salah untuk meraikan diri dengan bercuti, membeli sesuatu yang diidamkan atau menikmati pengalaman baharu. Namun, pastikan perbelanjaan itu terkawal dan tidak menghabiskan keseluruhan bonus,” katanya.
Melalui cara ini, anda masih dapat menikmati hasil usaha tanpa mengorbankan perancangan kewangan masa hadapan. – RELEVAN


