PADA 2010, sekumpulan penyelidik mendekati 464 peladang tebu di 54 kampung di daerah Villipuram dan Tiruvannamalai, Tamil Nadu, India.
Mereka datang untuk melengkapkan kajian tentang kemiskinan dan fungsi kognitif. Mereka mahu sahkan teori bahawa kemiskinan menyebabkan orang miskin terjebak membuat pilihan-pilihan yang buruk.
Teori itu bertentangan dengan kata-kata pemimpin wanita yang sangat berpengaruh, Margaret Thatcher. Bagi Thatcher, masalah pengurusan kewangan – atau yang digelarnya sebagai “kecacatan personaliti” – yang menyebabkan orang jatuh miskin.
Namun, kajian yang dijalankan Anandi Mani, Sendhil Mullainathan, Eldar Shafir dan Zhao Jiaying membuktikan bahawa kemiskinan menyebabkan manusia kehilangan fungsi kognitif. Mereka cenderung membuat keputusan salah ketika miskin.
Bodoh sebab miskin
Bukti yang dibentangkan empat penyelidik itu jelas. Mereka menjalankan ujian dalam kalangan peladang tersebut dalam dua tempoh berbeza: sebelum dan selepas musim menuai.
Sebab peladang di situ memperoleh kira-kira 60 peratus pendapatan tahunan mereka pada musim menuai. Maka, sebelum menuai mereka miskin tapi selepas menuai, mereka agak kaya.
Ujian yang dijalankan menunjukkan peladang lebih cenderung membuat keputusan salah sebelum musim menuai, ketika mereka tak ada banyak wang.
Keputusannya mendapati, peladang lebih cenderung memajak harta dengan kadar tinggi, buat pinjaman dan bergelut menyelesaikan bil lazim ketika tidak mempunyai banyak wang. Sedangkan selepas memperoleh majoriti pendapatan pada musim menuai, mereka boleh membuat keputusan kewangan yang lebih baik.
Malah, ujian IQ yang dijalankan juga menunjukkan keputusan yang lebih baik selepas musim menuai, menunjukkan bagaimana kemiskinan boleh mempengaruhi kecerdasan dan fungsi kognitif manusia.
Sejarawan Belanda, Rutger Bregman melihat kajian itu sebagai bukti bahawa orang miskin buat keputusan bodoh bukan sebab mereka memang bodoh tetapi mereka berada dalam persekitaran yang sesiapa sahaja akan buat keputusan bodoh.
Mereka berada dalam kesempitan – baik kesempitan wang, masa atau fikiran. Apa yang sempat difikirkan hanya desakan-desakan jangka pendek, tiada masa untuk fikir kepentingan jangka panjang.
Sebab itu mereka sanggup pajak harta dengan kadar tinggi. Mereka cenderung buat pinjaman. Mereka tak sempat nak susun strategi pembayaran bil bulanan.
Program pembasmian kemiskinan yang berat ke arah pendidikan kewangan juga sukar berjaya, kata Bregman, kerana kemiskinan bukan masalah kekurangan pengetahuan.
Ketika bertemu salah seorang penyelidik yang membuat kajian di India itu, Eldar Shafir, Bregman menerima analogi yang jelas tentang kesan pendidikan kewangan kepada golongan miskin.
Ia seperti mengajar seseorang berenang lalu campakkan mereka ke laut yang bergelora.
Maka, mengajar seseorang berenang belum cukup kerana gelora laut akan tetap membaham. Apa yang perlu dilakukan ialah menghentikan gelora. Bagaimana?
Menjamin pendapatan
Bregman datang dengan penyelesaian yang kini semakin popular, iaitu jaminan pendapatan asas (basic income guarantee – BIG).
Ia bukan idea yang baharu. Malah, ia sudah dilaksanakan di beberapa kawasan, daerah atau negeri.
Tahun lalu, kumpulan pemikir United Kingdom (UK), Autonomy mengumumkan akan menjalankan program rintis BIG atau pendapatan asas sejagat (universal basic income – UBI) di pekan Jarrow dan Finchley Timur, England.
ARTIKEL BERKAITAN: 30 rakyat England bakal terima RM9,000 sebulan secara percuma
Idea di sebalik BIG atau UBI (ada satu lagi nama yang lebih awal sebenarnya, iaitu cukai pendapatan negatif atau negative income tax – NIT) tidaklah rumit. Golongan miskin akan diberi wang secara percuma untuk memenuhi keperluan asas mereka.
Dengan pemberian wang tersebut, kata Bregman, kita mengubah konteks kehidupan orang miskin. Kita usir keluar kesempitan wang, masa dan fikiran – berikan mereka kelapangan yang sama seperti golongan pertengahan, sekurang-kurangnya.
Wang itu juga akan diberikan tanpa syarat. Penerima tak perlu buat apa-apa dan bebas menggunakan wang itu untuk apa-apa sahaja. Lebih penting lagi, pemberian itu tidak dianggap sebagai bantuan atau subsidi, sebaliknya hak penerima.
Kejahatan prejudis dan sangka buruk
Fikirkan sebuah syarikat pemula yang ada potensi untuk membuat perubahan atau membawa manfaat kepada pemiliknya dan masyarakat. Syarikat-syarikat ini akan disuntik dengan modal supaya ia dapat merealisasikan potensinya. Itu dikenali sebagai modal teroka.
Bregman membayangkan UBI atau BIG atau NIT sebagai modal teroka untuk manusia-manusia yang berpotensi menjadi seseorang, cuma potensinya dibelenggu kemiskinan.
Malah, data daripada percubaan yang pernah dilaksanakan – seperti di Dauphin, Kanada pada 1974 – menunjukkan program pemberian pendapatan asas berkesan. Ia meningkatkan seluruh aspek kesejahteraan penduduk yang terlibat.
Prestasi pelajar sekolah meningkat, kadar penghospitalan menyusut, kes keganasan rumah tangga merosot, kesihatan mental semakin baik, semakin ramai yang kekal dalam pekerjaan dan kadar pengangguran merendah.
Data tidak menipu, cuma cara kita melihat data yang boleh berbeza. Mungkin ramai yang tahu tentang kejayaan di Dauphin tetapi UBI atau BIG atau NIT tidak dilaksanakan secara meluas kerana, seperti Margaret Thatcher, golongan berkuasa bersikap prejudis terhadap orang miskin.
ARTIKEL BERKAITAN: Kisah seorang lelaki yang minta kambing dan radio dari Tuhan
Pemberian wang secara percuma kepada orang miskin dianggap tidak berkesan disebabkan prejudis, takut orang miskin akan guna wang itu untuk membeli kehendak, bukan keperluan. Mereka akan beli telefon mahal, berjudi atau ubah suai kereta.
Sangka buruk terhadap orang miskin membuatkan polisi seperti UBI, BIG dan NIT tidak diberi ruang untuk mengubah kehidupan golongan miskin. Selagi prejudis itu wujud, kemiskinan akan terus wujud. – RELEVAN