RAMADAN merupakan bulan kita memperkukuh keimanan dan memperkaya empati terhadap golongan kurang bernasib baik manakala Syawal pula bulan kita meraikan kemenangan dan kembali kepada fitrah.
Kedua-dua bulan ini sepatutnya mengisi jiwa dan hati umat Islam tapi entah apa silapnya, perayaan yang spiritual menjadi lebih material.
Ramadan jadi bulan bazar, food-hunting dan pembaziran. Syawal diujakan kerana baju dan perabot baharu. Semua ini tidak salah tetapi perlu berpada-pada dan tidak keterlaluan.
Relevan mahu mengajak anda mencari keseimbangan di bulan yang mulia ini. Sehubungan itu, mari kita dalami satu fenomena yang dipanggil kepenggunaan melampau (excessive consumerism) yang sering dikaitkan dengan musim perayaan.
Pesta belanja
“Kepenggunaan menjadi berlebihan apabila ia menjalar jauh melepasi keperluan,” kata Pengasas dan Pengarang portal Becoming Minimalist, Joshua Becker.
Kita memang akan berbelanja dan menggunakan produk. Kita, secara asasnya, akan sentiasa menjadi pengguna. Namun, apa yang kita belanja dan apa yang kita guna? Soalan ini yang akan membezakan kedudukan kita; dalam kotak kepenggunaan atau kotak kepenggunaan melampau?
ARTIKEL BERKAITAN: Elak pokai selepas Aidilfitri, berbelanjalah dengan jimat
Ramadan dan Syawal wajar diraikan namun keraiannya jangan terputus dari akar falsafah sambutannya.
“Dalam meraikan Aidilfitri, Muslim perlu mengamalkan kesederhanaan dan menjauhi perkara mungkar. Allah SWT mengarahkan kita untuk tidak membazirkan harta, sebaliknya perbanyakkan sedekah.
“Ramai Muslim – elit kaya atau orang kaya baharu – telah mengingkari arahan ini dan tenggelam dalam perbelanjaan yang membazir dan melampau, termasuk dalam bulan Ramadan.
“Mereka berbelanja dengan mewah untuk menghias rumah, membeli perabot mahal, langsir, pakaian, jam tangan dan barangan peribadi lain. Ketika pendapatan isi rumah rakyat sekadar RM2,000 sebulan, beg tangan orang kaya baharu boleh mencecah RM20,000,” tulis Allahyarham S.M. Mohamed Idris.
Nasihat tersebut ditulis sebagai ucapan Hari Raya Aidilfitri bekas Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang itu pada 2017.
Mesejnya jelas: raikan Aidilfitri dan Ramadan namun jangan jadikannya seperti pesta belanja.
Penyakit masyarakat
Kepenggunaan melampau pada musim perayaan bukan penyakit eksklusif orang Islam atau Melayu sahaja. Malah, ia lebih jelas dalam perayaan Krismas dan Tahun Baharu di negara-negara Barat.
Dalam musim perayaan, kita cenderung berbelanja untuk mencantikkan kediaman dan diri sendiri. Ketika ini syarikat-syarikat akan pulun segala promosi yang mereka boleh buat.
ARTIKEL BERKAITAN: Rancang perbelanjaan persekolahan, Ramadan dan Aidilfitri
Secara organik, tekanan sosial muncul untuk kita berbelanja. Jika tidak beli pakaian baharu, kita rasa tertinggal. Jika tiada langsir baharu, takut jiran dan saudara mengata.
Di Amerika Syarikat (AS), perbelanjaan ketika musim perayaan mencecah AS$940 bilion (RM4.15 trilion). Celia Hiorns yang menulis di portal The Badger Herald mengaitkan sikap berbelanja mewah itu kepada kempen pemasaran bersasar oleh syarikat-syarikat.
Malah, corak kepenggunaan yang bermula di AS itu juga menjalar ke seluruh ekonomi global, hujahnya.
“Untuk mengalami imej ideal orang AS yang selesa, orang Eropah mula mengamalkan tabiat kepenggunaan yang sama. Proses ini dinamakan sebagai Amerikanisasi. Penyebaran tabiat berbelanja ini melazimkan kepenggunaan, membawa kepada pengkomoditian percutian musim sejuk.
“Asasnya, pemberian hadiah dan berbelanja sudah menjadi keutamaan dalam musim sejuk. Masyarakat yang kapitalis membenarkan korporasi mengambil kesempatan terhadap budaya kepenggunaan yang menyamar di sebalik nostalgia dan sikap pemurah,” katanya.
Sudahkah tabiat berbelanja secara berlebihan pada musim perayaan ini juga diamalkan oleh masyarakat kita? Tepuk dada, tanya selera.
Cari kelabu
Berbelanja dalam musim perayaan tidak pernah salah. Apatah lagi untuk keluarga berpendapatan rendah yang menyimpan sepanjang tahun untuk membeli baju baharu pada hari raya, mereka layak bergembira dengan perbelanjaan mereka.
Namun, kita perlu selalu memilih jalan sederhana. Berbelanja mengikut keperluan, bukan kehendak nafsu yang membuak-buak.
Buat yang ada rezeki lebih, gunakannya untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik. Bersedekah di bulan Ramadan dan Syawal itu juga besar pahalanya di sisi Allah SWT.
Laporan media baru-baru ini mendedahkan, lebih seribu tan makanan dibazirkan kerana tidak habis dijual di bazar Ramadan. Jumlah ini hanya untuk bazar Ramadan di Selangor dan hanya untuk tempoh 18 hari.
Kita perlu bijak mencari rona kelabu antara yang putih dan hitam. Berbelanja untuk Aidilfitri tidak salah tetapi bersederhanalah. Makan sedap di bulan Ramadan tidak salah tetapi berpada-padalah.
Kesederhanaan dalam berbelanja bukan sahaja baik untuk individu, malah dunia. Pembaziran memberi kesan kepada perubahan iklim dan kesihatan awam.
Raikan Ramadan dan Syawal tahun ini dengan kesederhanaan. Kita bergembira dan berseronok tanpa perlu membazir berlebihan. – RELEVAN