ANGKA jangkitan baharu Covid-19 mencatatkan sebanyak 2,121 kes semalam berbanding 1,633 kes kelmarin.
Menurut data laman web KKMNOW, pertambahan kes baharu itu menjadikan kumulatif kes Covid-19 di Malaysia pada ketika ini adalah sebanyak 4,969,420 kes.
Kes sembuh pula mencatatkan sebanyak 1,764 kes semalam, menjadikan jumlah terkumpul kesembuhan adalah 4,905,670 kes.
14 kes kematian Covid-19 dilaporkan semalam dan 4 daripadanya merupakan kematian sebelum tiba di hospital (BID).
Sekali gus, menjadikan jumlah kematian Covid-19 setakat semalam adalah sebanyak 36,609 kes dan jumlah terkumpul BID sebanyak 7,787 kes.
Jumlah kes aktif Covid-19 di Malaysia pada ketika ini adalah sebanyak 27,141 kes dengan 25,149 kes atau 92.7 peratus (%) pesakit menjalani kuarantin di rumah dan sifar kes di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
Sebanyak 1,900 kes atau 7% pesakit dirawat di hospital, 34 kes atau 0.2% berada di unit rawatan rapi (ICU) tanpa alat bantuan pernafasan dan 58 kes atau 0.2% lagi di ICU dengan alat bantuan pernafasan.– RELEVAN