SABAN hari, teknologi yang diperkenalkan seantero dunia semakin maju. Seiring dengan era pendigitalan, peluang pekerjaan dalam bidang ini juga semakin luas kerana semua industri dan sektor memerlukan khidmat pekerja dalam bidang teknologi.
Peluang kerja yang luas dalam bidang ini bukan sahaja berlaku dalam pasaran global, Malaysia juga tidak ketinggalan. Pekerjaan dalam bidang komputer dan pendigitalan turut tersenarai dalam lapan pengkhususan yang paling banyak mendapat permintaan.
Justeru, bagi pelajar sekolah, lepasan universiti atau pemburu kerja yang mahu mempunyai masa hadapan lebih terjamin, maka wajar untuk mempertimbangkan pilihan bagi memulakan kerjaya dalam bidang teknologi maklumat (IT).
Memilih laluan kerjaya bukanlah tugas yang mudah, lebih-lebih lagi kerana ia menentukan kestabilan masa hadapan dan aspek-aspek penting lain dalam kehidupan.
Oleh itu, sebelum melakukan pemilihan kerjaya, rancangan dan kajian yang teliti perlu dilakukan.
Menurut JobStreet, terdapat beberapa sebab kukuh untuk menyokong anda memilih untuk membina kerjaya dalam bidang IT.
Bidang IT dahagakan pekerja berkemahiran dalam bidang berkaitan
Tidak dinafikan bahawa syarikat teknologi berkembang pesat dari hari ke hari untuk mengikuti perkembangan era pendigitalan.
Kebanyakan syarikat ini juga mempunyai matlamat untuk menyediakan perkhidmatan yang sesuai kepada pasaran lebih luas.
Justeru itu, syarikat-syarikat IT mencari calon-calon untuk mengisi jawatan-jawatan yang disediakan.
Menurut JobStreet, permintaan bagi pekerja dalam bidang ini tinggi, tetapi malangnya, tidak ramai calon mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan atas faktor kekurangan minat dan kelayakan.
Bidang pekerjaan yang meluas
Orang ramai sering mempunyai tanggapan bahawa pekerjaan dalam bidang IT hanya menawarkan posisi pengaturcara (programmer) dan pembangun web (web developer). Sebenarnya, pekerjaan dalam bidang ini lebih luas dari yang dijangka.
Bidang pekerjaan yang ditawarkan dalam industri ini sekurang-kurangnya meliputi 20 jenis pekerjaan bermula daripada penguji jaminan kualiti (quality assurance tester), pereka pengalaman pengguna (user experience designer) dan saintis data serta pentadbir web.
Teknologi juga dijangka akan terus berkembang dengan inovasi yang baharu. Semakin maju teknologi, semakin banyak peluang pekerjaan yang ditawarkan.
Jaminan pertumbuhan kerjaya
Seperti yang disebutkan di atas, teknologi akan terus meningkat dan diperbaharui. Tetapi, para pakar IT juga perlu seiring dengan perkembangan dan kemajuan untuk kekal relevan dalam pasaran yang kompetitif.
Anda juga dinasihatkan untuk sentiasa mempunyai inisiatif bagi meningkatkan kemahiran dan meluaskan pengetahuan untuk menjamin penguasaan tugas lebih sempurna.
Lebih banyak kemahiran yang anda miliki, lebih tinggi peluang untuk diburu oleh syarikat-syarikat besar dan ditawarkan gaji lebih lumayan.
Oleh itu, dapatkan pengalaman sebanyak mungkin seawal yang anda boleh untuk memajukan kerjaya secepat mungkin.
Menawarkan faedah yang besar dan menguntungkan
Dari sudut faedah, gaji sahaja sudah menjadi sebab yang kukuh untuk mempertimbangkan kerjaya dalam bidang IT.
Sudah tentu, ia masih bergantung kepada syarikat tertentu, pangkat pekerjaan, pengalaman, set kemahiran dan lokasi.
Namun, gaji yang lumayan sering menjadi faktor utama untuk bekerja di dalam sektor ini.
Walaupun wang tidak seharusnya menjadi satu-satunya sebab dalam pemilihan kerjaya, tetapi tiada siapa boleh menafikan kepentingan gaji yang ditawarkan untuk kelangsungan kehidupan.
Dengan pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan, taraf hidup juga akan meningkat kerana kurang terbeban dengan masalah kekangan kewangan.
Membolehkan anda untuk bekerja dari rumah
Kerja dari rumah bukan sahaja mula popular sejak pandemik melanda negara, tetapi ia juga merupakan cabang kemajuan pentadbiran dan pengurusan di tempat kerja.
Golongan muda zaman kini semakin giat mempromosikan kelebihan untuk bekerja dari rumah.
Fleksibiliti ini bukan sahaja bermanfaat kepada pekerja yang mencari keseimbangan kerjaya dan kehidupan sempurna, tetapi menurut Forbes, ia juga lebih baik untuk kesihatan mental.
Dalam usaha untuk memilih kerjaya, proses ini boleh menjadi mengujakan dan pada masa yang sama akan membuatkan anda tertekan. Tetapi, fahamkan minat dan sesuaikan dengan kemahiran yang dimiliki sebelum menandatangani surat tawaran kerja. – RELEVAN