MELANGKAH masuk ke alam pekerjaan buat kali pertama cenderung menimbulkan tekanan untuk sentiasa melakukan yang terbaik tanpa kesilapan.
Sedangkan kesilapan merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran yang membantu meningkatkan kemahiran, pengalaman dan kualiti kerja dari semasa ke semasa.
Walaupun kesilapan kecil tidak dapat dielakkan, terdapat beberapa tabiat yang boleh memberi kesan negatif terhadap prestasi dan perkembangan kerjaya jika dibiarkan berterusan.
Menurut Talent Labs, berikut merupakan tabiat yang perlu dielakkan di tempat kerja bagi membantu anda menjadi pekerja yang lebih profesional.
-
Lekas bersetuju tentang sesuatu perkara
Kadang-kadang keterujaan mengatasi realiti sehinggakan tidak sempat berfikir sebelum berkata “ya” dalam membuat keputusan.
Begitupun, daripada pengalaman inilah ia mengajar anda untuk lebih berhati-hati sebelum setuju tentang sesuatu perkara.
Itulah asam garam yang perlu dilalui untuk tidak menjadi orang yang mudah dimanipulasi.
-
Bekerja berlebihan untuk membuktikan diri
Bekerja keras adalah tindakan yang baik tetapi menjadi toksik apabila anda mula mengorbankan diri dengan bekerja di luar waktu pejabat tanpa elaun lebih masa.
Perlu ada batas yang sihat supaya usaha anda tidak memakan diri sendiri.
-
Mempercayai orang yang salah
Selagi belum bekerja atau rapat dengan seseorang, kita tidak akan tahu tentang sikap sebenar mereka.
Apa yang penting adalah tetap bersikap profesional dan tidak mencampurkan urusan peribadi dengan hal di tempat kerja.
Pengalaman sebegini mengajar kita untuk lebih menjaga batas dengan rakan sekerja.
-
Menerima pekerjaan luar daripada bidang
Setiap pekerjaan pasti ada perkara baharu yang boleh kita pelajari walaupun ia bukan daripada bidang asal.
Bagaimanapun, kita juga perlu ambil kira jika skop kerja itu benar-benar selari dengan kepakaran sendiri.
Pengalaman mencuba sesuatu yang berbeza boleh membuka peluang tetapi penting juga untuk menilai sama ada ia relevan dan memberi manfaat kepada perkembangan diri kita.
-
Gagal secara terbuka
Setiap orang pasti pernah melalui hari paling buruk atau melakukan kesilapan besar.
Hakikatnya, kesilapan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran. Paling penting ialah bagaimana kita memperbaikinya.
-
Berhenti tanpa perancangan rapi
Pilihan untuk berhenti dari tempat kerja anda sekarang bukan keputusan yang mudah.
Pasti ada sebab di sebaliknya seperti persekitaran yang toksik atau ia mula memberi kesan negatif pada diri anda.
Percayalah, pintu rezeki sentiasa terbuka dan kadang-kadang keputusan ini perlu dibuat demi pertumbuhan kerjaya dan kesejahteraan diri.
-
Belajar melalui kesusahan
Tiada perkara yang benar-benar mudah dalam hidup. Dalam kehidupan, akan ada ujian yang menguji ketahanan diri meskipun tidak semuanya dapat dikawal.
Melalui titik terendah inilah yang menjadikan pengajaran paling berharga untuk diri kita. – RELEVAN


