HAMPIR semua orang mempunyai tabiat kerap menggosok mata. Sama ada kerana gatal, letih atau baru bangun tidur. Ia kelihatan seperti tindakan spontan yang tidak berbahaya. Namun, jika dilakukan terlalu kerap atau dengan tekanan yang kuat, tabiat ini sebenarnya boleh memberi kesan kepada kesihatan mata dalam jangka panjang.
Mata adalah organ yang sangat sensitif. Sedikit tekanan atau geseran berulang boleh memberi kesan pada struktur halus di dalamnya.
Berikut beberapa risiko yang ramai tidak sedar.
-
Risiko jangkitan meningkat
Tangan kita menyentuh pelbagai permukaan setiap hari – telefon, pemegang pintu, wang dan banyak lagi. Apabila mata digosok, bakteria dan kuman dari tangan mudah masuk ke kawasan mata.
Ia boleh mengakibatkan:
- Konjunktivitis (mata merah)
- Jangkitan kelopak mata
- Keradangan ringan
Dalam kes tertentu, ia boleh merebak jika tidak dirawat dengan baik.
-
Kornea tercalar
Kornea ialah lapisan lutsinar di hadapan mata. Ia sangat halus dan mudah tercedera. Gosokan yang kuat atau menggunakan kuku tanpa sedar boleh menyebabkan calar pada kornea, sakit mata, sensasi seperti ada pasir dalam mata dan penglihatan kabur sementara.
Walaupun kecil, kecederaan ini boleh menjadi tidak selesa dan mengambil masa untuk sembuh.
-
Meningkatkan risiko masalah penglihatan tertentu
Kajian menunjukkan tabiat menggosok mata secara agresif dan berulang boleh meningkatkan risiko keadaan seperti keratoconus iaitu kornea menjadi semakin nipis dan berbentuk tidak normal.
Apabila ini berlaku, penglihatan boleh menjadi semakin kabur dan dalam kes serius, memerlukan rawatan khusus.
-
Memburukkan mata kering
Ramai menggosok mata kerana rasa kering atau tidak selesa. Namun, tindakan ini sebenarnya boleh memburukkan keadaan.
Geseran pada permukaan mata boleh mengganggu lapisan air mata yang berfungsi melindungi mata. Akibatnya, mata jadi lebih cepat kering, rasa pedih semakin kerap dan keinginan untuk menggosok mata meningkat. Ia boleh menjadi kitaran yang berulang.
-
Boleh mencetuskan kedutan dan bengkak
Tekanan pada kawasan mata boleh merangsang otot kecil di sekitar kelopak mata. Ini boleh menyebabkan mata berkedut, kelopak mata bengkak atau kemerahan sementara.
Bagi individu yang kerap menggosok mata, simptom ini boleh menjadi lebih kerap berlaku.
-
Meningkatkan tekanan pada mata
Gosokan kuat boleh meningkatkan tekanan intraokular secara sementara. Walaupun kesannya tidak kekal, bagi individu yang mempunyai risiko glaucoma, tabiat ini tidak digalakkan kerana mata mereka lebih sensitif kepada perubahan tekanan.
Apa yang patut dilakukan jika mata terasa gatal?
Daripada menggosok, lebih baik:
- Bilas dengan air bersih atau gunakan ubat titis mata
- Rehatkan mata daripada skrin
- Gunakan kompres sejuk jika bengkak atau letih
- Pastikan tangan bersih sebelum menyentuh kawasan mata
Mata bukan sekadar organ untuk melihat tetapi sesuatu yang tidak ada gantinya. Jika berlaku kerosakan serius, rawatannya bukan mudah. Dalam sesetengah kes, ia memerlukan prosedur seperti pembedahan atau implan. Ia bukan sahaja mengambil masa tetapi juga kos yang tinggi dan tempoh pemulihan lama.
Sebab itu, walaupun gosok mata nampak seperti perkara kecil dan remeh kesannya boleh terkumpul tanpa kita sedar. Menjaga mata tidak memerlukan langkah yang rumit. Cukup dengan mengelakkan tekanan yang tidak perlu, menjaga kebersihan tangan dan pastikan mata dapat berehat secukupnya. – RELEVAN


