RAMAI orang beranggapan mereka masih mempunyai banyak masa untuk menguruskan kewangan. Ketika masih muda dan sihat, soal simpanan, perlindungan kewangan atau perancangan masa depan sering dianggap boleh ditangguhkan.
Namun, apabila usia meningkat dan komitmen semakin bertambah, ramai mula menyedari terdapat beberapa perkara yang sepatutnya dimulakan lebih awal.
Hakikatnya, pengurusan wang bukan sekadar berapa banyak pendapatan yang diperoleh tetapi sejauh mana seseorang bersedia menghadapi masa depan.
Berikut tujuh perkara yang sering menjadi penyesalan ramai apabila bercakap tentang kewangan.
-
Tidak simpan wang secara konsisten
Ramai yang berhasrat untuk mula menyimpan apabila gaji meningkat atau apabila keadaan kewangan menjadi lebih stabil. Malangnya, masa yang sesuai itu sering tidak kunjung tiba.
Walaupun jumlah simpanan pada peringkat awal mungkin kecil, tabiat menyimpan secara konsisten mampu memberikan kesan yang besar dalam jangka panjang.
Simpanan juga membantu seseorang menghadapi pelbagai situasi tidak dijangka tanpa perlu bergantung kepada hutang.
-
Tidak ada dana kecemasan
Kemalangan, kehilangan pekerjaan atau kecemasan keluarga boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa amaran.
Mereka yang tidak mempunyai dana kecemasan sering terpaksa menggunakan kad kredit, membuat pinjaman peribadi atau meminjam daripada ahli keluarga apabila berdepan masalah kewangan mendadak.
Dana kecemasan bukan bertujuan untuk digunakan setiap hari, tetapi menjadi pelindung ketika keadaan benar-benar memerlukan.
-
Tidak ambil kisah aliran keluar masuk wang
Ada individu yang bekerja bertahun-tahun tetapi masih tidak pasti ke mana wang mereka dibelanjakan setiap bulan.
Mengetahui jumlah pendapatan dan perbelanjaan membantu seseorang membuat keputusan kewangan yang lebih baik. Tanpa pemantauan yang jelas, kebocoran wang mudah berlaku dan sukar dikesan.
Langkah mudah seperti merekod perbelanjaan atau menyemak penyata bank secara berkala boleh memberikan gambaran yang lebih tepat tentang kedudukan kewangan semasa.
-
Tidak kawal hutang sejak awal
Tidak semua hutang membawa kesan buruk. Namun, hutang yang tidak terkawal boleh menjadi beban berpanjangan.
Ramai yang menyesal kerana terlalu mudah membuat komitmen kewangan tanpa memikirkan kesannya dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Semakin lama hutang tertunggak, semakin banyak wang perlu dibayar dalam bentuk faedah atau caj tambahan. Wang tersebut sebenarnya boleh digunakan untuk tujuan lain yang lebih bermanfaat.
-
Tiada perlindungan kewangan yang sesuai
Ramai hanya mula memikirkan soal perlindungan apabila sudah berdepan masalah kesihatan atau kecemasan.
Walaupun tiada siapa mengharapkan perkara buruk berlaku, perlindungan kewangan yang sesuai dapat membantu mengurangkan beban apabila berlakunya kejadian tidak dijangka.
Kos rawatan perubatan dan komitmen harian boleh menjadi cabaran besar jika seseorang tidak mempunyai sebarang perlindungan.
-
Tidak belajar asas pelaburan
Terdapat individu yang menyimpan wang selama bertahun-tahun tetapi tidak pernah mengambil masa untuk memahami bagaimana wang boleh berkembang melalui pelaburan.
Mempelajari asas pelaburan tidak bermaksud seseorang perlu mengambil risiko yang tinggi. Sebaliknya, ia membantu individu memahami pilihan yang ada dan membuat keputusan berdasarkan pengetahuan, bukannya mengikut trend semata-mata.
Semakin awal seseorang mula belajar, semakin banyak masa yang dimiliki untuk membina pengalaman dan keyakinan.
-
Tidak rancang matlamat kewangan jangka panjang
Ramai memberi tumpuan kepada keperluan bulanan sehingga terlupa untuk memikirkan matlamat yang lebih besar.
Sama ada membeli rumah, menyambung pelajaran, memulakan perniagaan atau bersara dengan selesa, setiap matlamat memerlukan perancangan yang rapi. – RELEVAN


