HUTANG pendidikan merupakan satu bentuk bantuan kewangan yang membuka peluang kepada ramai pelajar untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Melalui pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), ramai anak muda berpeluang mengejar cita-cita tanpa perlu menanggung beban kewangan yang besar ketika sedang belajar.
Namun, pinjaman ini tetap merupakan satu hutang yang perlu dibayar semula selepas tamat pengajian. Ramai peminjam ambil remeh tentang pembayaran balik pinjaman PTPTN selepas tamat pengajian.
Tanpa sedar, sebenarnya kegagalan melunaskan hutang pendidikan boleh memberi kesan negatif terhadap kestabilan kewangan pada masa hadapan.
Menurut PTPTN, berikut ialah kesan buruk jika hutang PTPTN tidak dilunaskan segera.
-
Rekod CCRIS tercalar
Rekod peminjam akan dipaparkan dalam Central Credit Reference Information System (CCRIS), iaitu sistem yang merekodkan maklumat kredit individu termasuk pinjaman pendidikan serta lain-lain pinjaman seperti perumahan, kenderaan dan kad kredit.
Sekiranya bayaran PTPTN tertunggak, rekod tersebut akan menunjukkan status pembayaran yang kurang baik dan boleh menjejaskan profil kredit peminjam.
-
Sukar mendapat kelulusan pinjaman baharu
Institusi kewangan akan menyemak rekod CCRIS sebelum meluluskan sebarang permohonan pembiayaan.
Sekiranya peminjam mempunyai tunggakan PTPTN, pihak bank mungkin menganggap individu tersebut berisiko tinggi untuk gagal membayar pinjaman pada masa depan. Akibatnya, permohonan berikut mungkin sukar diluluskan:
- Pinjaman perumahan
- Pinjaman kenderaan
- Kad kredit
- Pembiayaan peribadi
- Pembiayaan perniagaan
Malah, ada sesetengah institusi kewangan yang menjadikan rekod pembayaran PTPTN sebagai antara penilaian awal sebelum memproses sesuatu permohonan pinjaman.
-
Menjejaskan perancangan kewangan masa hadapan
Tunggakan hutang PTPTN yang berpanjangan boleh mengganggu perancangan kewangan jangka panjang individu. Lebih lama hutang dibiarkan tanpa penyelesaian, lebih besar kesannya terhadap kestabilan kewangan peminjam.
-
Risiko tindakan saman sivil
Di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566), PTPTN mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap peminjam yang gagal memenuhi tanggungjawab pembayaran balik.
Sekiranya keadaan berlarutan, PTPTN boleh memfailkan saman sivil terhadap peminjam bagi mendapatkan semula jumlah pinjaman yang tertunggak.
Cara mengelakkan tunggakan PTPTN
Bagi mengelakkan masalah kewangan pada masa depan, peminjam disarankan untuk:
- Membuat bayaran mengikut Jadual Bayaran Balik (JBB)
- Menyemak baki pinjaman secara berkala
- Mengaktifkan potongan gaji atau arahan tetap bank
- Menghubungi PTPTN sekiranya menghadapi masalah kewangan
- Mengambil peluang insentif atau diskaun bayaran balik yang ditawarkan dari semasa ke semasa – RELEVAN


