DALAM keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kenaikan harga barang, ‘side income’ atau pendapatan daripada kerja sampingan boleh menjadi penyelamat beban kewangan anda.
Perancang kewangan berlesen, Adam Zubir berkata, penggantungan kepada satu sumber pendapatan boleh menyebabkan seseorang berasa kurang selamat dari sudut kewangan.
Berikut merupakan tujuh idea ‘side income’ terbaik di Malaysia yang dikongsikan oleh Adam Zubir.
-
Guru tuisyen atau tutor

Guru tuisyen atau tutor separuh masa merupakan pekerjaan sampingan yang popular, khususnya dalam kalangan golongan muda.
Adam berkata, seseorang boleh memanfaatkan ilmu pengetahuan dalam subjek seperti Matematik, Sains, Bahasa Inggeris dan lain-lain untuk mengajar pelajar sekolah.
“Ada juga permintaan untuk guru mengaji yang mengajar Iqra’ dan al-Quran kepada kanak-kanak serta orang dewasa,” katanya.
Beliau turut berkongsi bahawa sesi pembelajaran juga boleh dijalankan secara dalam talian melalui platform seperti Zoom atau Google Meet. Kaedah ini membolehkan tutor mendapatkan pelajar dari pelbagai negeri lain.
“Kadar bayaran perkhidmatan bergantung kepada pengajar, namun sekitar RM30 hingga RM50 bagi sesi dua jam dilihat memadai dan diterima oleh ibu bapa,” ujarnya.
-
Dropship atau ejen jualan

Konsep dropshipping bermaksud seseorang menjual produk milik pihak lain, manakala urusan pembungkusan dan penghantaran dikendalikan oleh pembekal. Tugas utama ejen hanyalah mempromosikan serta mendapatkan pelanggan.
Peluang ini sesuai untuk mereka yang ingin berniaga tanpa modal besar kerana terdapat sesetengah program dropship yang tidak memerlukan modal langsung. Malah, bahan pemasaran disediakan oleh pembekal.
-
Freelancer

Freelancer merujuk kepada individu yang bekerja secara bebas tanpa terikat dengan mana-mana syarikat atau majikan tetap.
“Peluang menjana side income semakin luas dengan kewujudan pelbagai platform seperti Fiverr, Freelancer.com, Guru dan Upwork.
“Kemahiran seperti menulis, reka bentuk grafik, suntingan video dan lain-lain boleh dijadikan sumber pendapatan. Pilih projek yang selari dengan minat supaya kerja terasa lebih menyeronokkan,” katanya.
-
Servis sebagai pemandu dan penghantaran

Perkhidmatan penghantaran dan pengangkutan juga menjadi pilihan ramai untuk menambah pendapatan.
“Jika dahulu penghantaran barang sering dikendalikan oleh Pos Malaysia, kini sesiapa sahaja boleh menjadi penghantar makanan, barang atau penumpang melalui aplikasi seperti Grab, Foodpanda dan Lalamove.
“Hanya dengan telefon pintar, internet dan kenderaan sendiri, seseorang sudah boleh mula menjana pendapatan tambahan,” katanya.
-
Pempengaruh dan pencipta kandungan

Kerjaya sebagai pempengaruh atau pencipta kandungan semakin mendapat perhatian pada masa kini. Individu yang mempunyai ramai pengikut di media sosial berpeluang menjadi duta jenama, menerima bayaran ulasan produk dan menjana pendapatan melalui platform digital.
Namun begitu, bidang ini memerlukan strategi jangka panjang kerana populariti di media sosial boleh berubah-ubah. Oleh itu, mereka yang terlibat digalakkan membina perancangan sebaiknya.
-
Personal Shopper

Menjadi personal shopper (pembeli peribadi) salah satu kerja tambahan yang berpotensi. Tugas utama ialah membantu pelanggan mendapatkan barangan yang mereka inginkan seperti beg tangan berjenama serta barangan edisi terhad.
Pekerjaan ini memerlukan masa dan tenaga banyak. Namun bagi sesetengah individu, aktiviti membeli-belah untuk pelanggan turut memberi kepuasan pada diri.
-
Bisnes kecil-kecilan

Ramai usahawan berjaya memulakan langkah mereka melalui perniagaan kecil-kecilan. Ada yang menjalankannya sebagai aktiviti masa lapang, dan ada juga yang benar-benar mahu meningkatkan pendapatan keluarga.
Bagi mereka yang sibuk bekerja tetap, perniagaan kecil tidak semestinya dijalankan setiap hari. Memanfaatkan hujung minggu sahaja juga sudah memadai untuk mula menjana pendapatan tambahan. – RELEVAN


