RAMAI pelajar membesar dengan rasa cinta dan kasih terhadap haiwan. Ada pelajar yang sukakan kucing dan ada juga gemar mengisi masa lapang dengan menonton dokumentari hidupan liar. Tahukah anda, minat terhadap haiwan juga boleh dijadikan sumber inspirasi kerjaya?
Salah satu pekerjaan yang melibatkan haiwan secara langsung ialah penjaga zoo! Walaupun nampak mudah dari luar, sebenarnya kerjaya ini memerlukan pengetahuan, keberanian dan komitmen yang tinggi.
Tugas penjaga zoo
Penjaga zoo ialah individu yang bertanggungjawab menjaga haiwan-haiwan di zoo. Tugas mereka bukan sekadar memberi makan malah turut merangkumi pemantauan kesihatan, kebersihan habitat haiwan dan memastikan haiwan tidak mengalami tekanan atau bosan.
Setiap hari, penjaga zoo akan memeriksa keadaan fizikal haiwan, membersihkan kawasan kandang, menyediakan makanan mengikut diet yang betul dan mencatat sebarang perubahan tingkah laku. Kalau ada haiwan yang sakit, penjaga zoo akan membantu doktor haiwan dalam rawatan.
Ada kalanya penjaga zoo perlu membantu haiwan dalam proses pembiakan. Sebagai contoh, mereka mungkin perlu membantu panda yang menghadapi kesukaran untuk mengawan atau melahirkan anak, serta memastikan persekitaran yang selamat dan sesuai bagi ular untuk bertelur.
Lebih daripada sekadar suka haiwan
Untuk menjadi penjaga zoo, anda bukan sahaja perlu suka haiwan tetapi juga perlu tahan lasak dan sanggup bekerja dalam pelbagai keadaan seperti panas, hujan, bau busuk dan melakukan kerja-kerja berat.
Penjaga zoo juga perlu memahami ciri-ciri dan keperluan spesies yang berbeza. Contohnya perbezaan menjaga harimau dan kura-kura atau mengawal diet gajah dan monyet.
Laluan pendidikan
Di Malaysia, sekiranya anda berminat untuk menjadi penjaga zoo, pertimbangkan untuk mengambil bidang pengajian seperti sains haiwan, zoologi, biologi atau teknologi veterinar.
Terdapat institusi yang menawarkan diploma dalam pengurusan haiwan dan program berkaitan haiwan liar. Pengalaman praktikal melalui latihan industri atau sukarelawan di zoo juga sangat digalakkan.
Penjaga zoo bukan satu-satunya pekerjaan dalam bidang ini. Dengan pengalaman dan kemahiran tambahan, anda boleh menjadi penyelaras penjagaan haiwan, pendidik konservasi atau bekerja dalam pusat perlindungan hidupan liar dan taman tema yang melibatkan haiwan.
Ada juga yang melanjutkan pelajaran dan menjadi penyelidik haiwan liar atau pensyarah dalam bidang berkaitan.
Bekerja di sekeliling haiwan mungkin mencabar tetapi ia sangat bermakna. Setiap hari, anda diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada kehidupan haiwan dan memainkan peranan penting dalam memastikan mereka terus terpelihara untuk masa hadapan. – RELEVAN