Jika ada satu perkara yang boleh menjejaskan hubungan, ia adalah isu kewangan.
Tidak kiralah sama ada pasangan bercinta yang sedang kumpul duit bersama untuk perkahwinan atau pasangan yang sudah berkahwin, isu kewangan mudah menjadi punca pergaduhan atau terasa hati.
Namun, jika anda dan pasangan boleh memikirkan cara berkomunikasi tentang wang dan mengemudi kewangan bersama-sama dengan baik, mungkin kehidupan bahagia selama-lamanya itu milik anda.
Berikut merupakan tiga strategi yang boleh membantu anda menguruskan hal kewangan bersama pasangan.
- Tetapkan matlamat bersama
Mempunyai matlamat kewangan yang sama boleh membantu pasangan menyelaraskan keutamaan dan membuat keputusan tentang cara mengurus wang dengan baik.
Matlamat tersebut boleh menjadi jangka panjang seperti menyimpan untuk persaraan dan membeli rumah atau jangka pendek seperti membayar hutang atau menabung untuk percutian.
Untuk meningkatkan kemungkinan mencapai matlamat tersebut, wujudkan beberapa peraturan asas. Ia boleh menjadi apa sahaja seperti menetapkan had perbelanjaan bulanan atau mendahulukan keperluan sebelum kemahuan yang kurang penting.
- Tentukan apa milik anda, milik pasangan dan milik bersama
Satu persoalan besar untuk pasangan adalah sama ada untuk menggabungkan akaun simpanan atau tidak? Tiada jawapan yang betul atau salah, ia bergantung kepada pilihan dan had masing-masing.
Ada yang lebih suka mengasingkan wang, ada juga yang berpendapat menggabungkan kesemua wang dan harta. Atau, ada beberapa perkara yang dikongsi bersama dan beberapa perkara lain hak milik masing-masing.
Bincangkan kebaikan dan keburukan semua pilihan dan cari penyelesaian yang paling sesuai untuk mewujudkan situasi menang-menang.
Salah satu kaedah yang paling biasa digunakan ialah membahagikan bil-bil seperti bil elektrik atau sewa rumah bersama-sama. Manakala perbelanjaan besar dan wajib dari sudut agama Islam ditanggung oleh pihak lelaki.
Namun, kaedah ini mungkin tidak bersesuaian dengan semua orang. Telitikan apa yang lebih sesuai untuk rumah tangga atau hubungan masing-masing.
- Bercakap secara terbuka dan jujur tentang wang
Topik yang paling tidak romantik untuk dibincangkan ialah wang.
Tetapi sama seperti perlu berkomunikasi tentang pergaduhan atau cemburu, perbincangan berkaitan wang juga harus dilakukan. Kegagalan untuk berkomunikasi tentang kewangan mungkin akan menjejaskan hubungan anda.
Perbualan tentang wang selalunya tidak selesa kerana ia melibatkan topik yang sukar seperti hutang, perbelanjaan berlebihan pasangan atau ketidakupayaan mereka untuk menyimpan. Tetapi, mengelak daripada berbincang isu ini tidak akan menyelesaikan masalah.
Sebenarnya, konflik mengenai wang adalah perkara biasa. Apa yang penting adalah cara anda mengendalikannya. Perbualan tentang wang perlu dilakukan secara berterusan dan bukan sesuatu yang anda fokuskan sekali-sekala.
Cuba bersikap empati, amalkan komunikasi yang sihat dan cari penyelesaian bersama. Teruskan bekerja sebagai satu pasukan demi kebahagiaan bersama. – RELEVAN