PERCUTIAN yang sepatutnya membawa kegembiraan bertukar tragedi bagi sepasang suami isteri dari Russia di Langkawi, apabila anak lelaki mereka berusia dua tahun meninggal dunia selepas disengat obor-obor.
Walaupun sudah menerima rawatan awal dan dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, mangsa disahkan meninggal dunia akibat keracunan daripada sengatan tersebut.
Kejadian ini menjadi peringatan penting bahawa walaupun kebanyakan sengatan obor-obor hanya menyebabkan iritasi ringan, ada spesies tertentu yang mampu mengancam nyawa terutamanya kanak-kanak, warga emas atau sesiapa yang mempunyai masalah kesihatan.
Menurut Cleveland Clinic, berikut ialah panduan apa yang perlu dilakukan sekiranya disengat obor-obor.
Bagaimana sengatan obor-obor berlaku?
Obor-obor memiliki sel penyengat yang dipanggil nematosista dan terletak pada tentakelnya. Setiap tentakel boleh mengandungi ribuan sel ini dan setiap satu memancutkan venom apabila tersentuh kulit manusia.
Obor-obor tidak menyerang manusia tetapi sengatan biasanya berlaku apabila kita tersentuh tentakel ketika berenang atau berjalan di tepi pantai.
Kesan sengatan terhadap badan
Reaksi tubuh selepas disengat obor-obor bergantung pada beberapa faktor, termasuk:
- Jenis obor-obor
- Umur, kesihatan dan berat badan mangsa
- Kawasan dan keluasan kulit yang terkena
- Tempoh selepas disengat masuk ke dalam tubuh
Simptom disengat obor-obor
Apabila seseorang disengat obor-obor, reaksi awalnya mungkin hanya iritasi ringan. Mangsa boleh merasa pedih, terbakar atau seperti dicucuk pada kulit. Kawasan yang terkena sering berubah warna seperti kemerahan, keunguan atau kecoklatan seakan ruam dan mungkin terasa gatal atau berdenyut.
Dalam beberapa kes terutamanya jika jenis obor-obor sangat berbisa, reaksi boleh menjadi jauh lebih serius dan memerlukan rawatan segera. Mangsa mungkin menghadapi kesukaran bernafas atau mengalami sakit dada yang tidak normal. Otot pula boleh menjadi kejang dan ada yang akan merasa kebas atau sensasi mencucuk-cucuk di anggota badan.
Loya atau muntah juga boleh berlaku dan lebam atau lepuh mungkin muncul di kulit. Sesetengah orang sukar menelan, berpeluh dengan banyak atau sakit perut yang teruk.
Sekiranya sebarang gejala sebegini muncul selepas sengatan, adalah sangat penting untuk segera mendapatkan bantuan perubatan di hospital berdekatan.
Apa yang perlu dilakukan jika disengat obor-obor
-
Bilas kawasan terkena dengan air laut
Air paip atau air tawar boleh mengaktifkan lebih banyak nematosista, menyebabkan venom keluar lebih banyak. Jadi, gunakan air laut untuk bilas tentakel dan venom pada kulit.
-
Keluarkan tentakel yang masih melekat
Gunakan penyepit (tweezers) atau sarung tangan. Jangan tarik dengan tangan sahaja kerana venom masih boleh dilepaskan.
-
Tuang cuka atau alkohol (rubbing alcohol)
Ini bagi menghentikan tembakan nematosista yang masih aktif. Tetapi perlu diingatkan bahawa jika disegat oleh obor-obor Portuguese man-of-war (Physalia), jangan gunakan kaedah ini kerana boleh mengaktifkan lebih banyak venom.
-
Kurangkan rasa sakit dan bengkak
Sapukan calamine lotion atau krim hidrokortison. Gunakan ais atau air suam untuk mengurangkan bengkak dan kesakitan. Elakkan menggosok kawasan yang disengat.
Ramai yang masih percaya mitos bahawa kencing pada kawasan sengatan boleh membantu meredakan kesakitan, namun hakikatnya tindakan itu tidak memberikan sebarang manfaat. Urin tidak mampu meneutralkan venom dan malah boleh menjadikan rasa pedih semakin teruk.
Begitu juga dengan penggunaan air tawar. Ia tidak sesuai digunakan untuk membilas kawasan yang disengat kerana air tawar boleh mengaktifkan lebih banyak sel penyengat yang masih melekat pada kulit.
Selain itu, kawasan sengatan tidak sepatutnya digosok dengan pasir atau tuala. Tindakan menggosok hanya menyebabkan lebih banyak nematosista melepaskan venom, sekali gus meningkatkan kesakitan dan keradangan. – RELEVAN


